COVID-19: Imam Sebak Lihat Masjid Sunyi Sepi Tanpa Jemaah

Seorang imam masjid di Kuala Pilah meluahkan rasa sebak apabila melihat masjid sunyi sepi susulan masyarakat perlu akur terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Imam Masjid Kariah Desa Anggerik, Mohd Rusli Ibrahim turut menyifatkan bahawa ia seperti ‘ada sesuatu yang tidak kena’ terutamanya apabila solat Jumaat juga tidak boleh didirikan di masjid.

“Bagaimanapun, kita perlu patuh pada arahan pemerintah demi keselamatan dan kesejahteraan semua.

Sebagai imam, sudah pasti saya merasa sebak. Bukan hanya saya, bahkan jika ditanya dengan imam-imam termasuklah jemaah lain, sudah pasti mereka juga mempunyai perasaan sama,” katanya.

Mohd Rusli berkata, kebiasaannya setiap hari Jumaat, dia akan membuat persiapan seawal pagi seperti ke Pejabat Agama Islam Daerah untuk mengambil teks khutbah Jumaat.

“Sebagai umat Islam, kita wajib percaya ini semua ialah ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan kita juga perlu yakin semua penyakit itu ada penawarnya. Sama-sama kita berdoa supaya wabak koronavirus (COVID-19) ini berakhir dengan segera,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Rusli tidak menafikan bahawa semua umat Islam rindu untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid, mengikuti kuliah-kuliah agama dan solat Jumaat.

Namun demikian, Perintah Kawalan Pergerakan perlu dipatuhi terlebih dahulu bagi mengekang penularan wabak COVID-19 sebelum aktiviti boleh dilakukan seperti biasa.

“Jika wabak COVID-19 masih tidak mampu dibendung, sudah pasti PKP akan dilanjutkan dan segala aktiviti di masjid akan ditangguhkan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Masjid Kariah Desa Anggerik pernah dinobatkan sebagai masjid terindah di Negeri Sembilan dan menjadi lokasi tumpuan bagi musafir.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan COVID-19, klik pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca