COVID-19: Ibu Ini Ambil Inspirasi Daripada Filem Zombi Untuk Berdepan Ancaman Koronavirus

Meskipun sudah beberapa bulan berlalu, Koronavirus baharu (COVID-19) tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan hilang dalam masa terdekat. Disebabkan itu, sesetengah masyarakat di seluruh dunia semakin terdesak untuk melakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup.

Seorang ibu di Australia mempunyai caranya yang tersendiri bagi membuat persiapan berdepan ancaman virus COVID-19 yang membawa maut itu apabila dia mendapatkan stok pelbagai jenis makanan dan ubatan yang cukup untuk keperluan setahun.

Menurut Jemma Reed, persedian yang dilakukannya mungkin kelihatan agak keterlaluan bagi sesetengah orang. Namun, ia adalah satu tindakan yang wajar apabila seorang daripada tiga anaknya mempunyai masalah gangguan tumpuan dan hiperaktif (ADHD).

“Virus ini mungkin tidak sampai ke tahap terlalu serius, namun sekiranya anda mempunyai tiga orang anak, anda tidak boleh terlalu selesa,” katanya.

Menurut laporan media tempatan, Jemma telah membeli sebanyak 50 kilogram beras sebagai persiapan menghadapi COVID-19. Malah, wanita itu juga menyimpan pelbagai makanan lain yang kini memenuhi lima ruang penyimpanan di rumahnya.

Dek kerana bimbang dengan pelbagai ubatan yang diimport dari China, Jemma turut menyimpan sejumlah 150 paket Panadol, asprin dan Nurofen, antibiotik, pembalut luka serta pam asma.

“Saya berasa sedikit gila kerana terlebih panik berbanding orang ramai saat saya keluar membeli penutup mulut dan hidung N96,” ujar Jemma.

Walau bagaimanapun, Jemma dikatakan tidak berseorangan dalam hal ini apabila suaminya turut berkongsi kerisauan sama. Malah, pasangan itu difahamkan sudah meleburkan barang kemas yang dimiliki sebagai persediaan sekiranya ia mungkin diperlukan untuk urusan jual beli.

Selain itu, pasangan berkenaan juga dilaporkan mendapatkan benih sayuran serta akuarium bagi tujuan penternakan ikan.

“Kami mendapat inspirasi untuk melakukan perkara seperti ini menerusi filem-filem zombi,” ujar Jemma lagi.

Menurut wanita itu, dia berharap Australia akan terselamat daripada ancaman wabak COVID-19. Meskipun begitu, dia tidak sanggup mengambil risiko susulan anaknya mempunyai tahap ketahanan badan yang rendah.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak Koronavirus (COVID-19), sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca