COVID-19: Ibadah Korban Di Singapura Dijalankan Dengan Cara Yang Berbeza Tahun Ini

Singapura dilaporkan tidak membenarkan pengimportan haiwan ternakan bagi tujuan ibadah korban untuk tahun ini, bersempena Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba. Ini berikutan situasi penularan pandemik COVID-19 di negara itu yang masih berlarutan.

Bagaimanapun, pihak masjid di sana menawarkan khidmat korban bagi mereka yang merancang untuk melaksanakan ibadah itu. Ia akan dijalankan di Australia dan daging sembelihan akan dibekukan sebelum dihantar ke Singapura.

Pihak masjid di Singapura akan menguruskan proses pengagihan daging tersebut kepada masyarakat dan keluarga yang berpendapatan rendah.

Menurut Timbalan Mufti Singapura, Mohd Murat Md Aris, apa yang penting umat Islam dapat melakukan ibadah korban sebagai tanda kesyukuran dan mendapat nikmat keredhaan dari Allah.

“Melindungi komuniti daripada kemudaratan dalam konteks sekarang adalah satu tanggungjawab dan pengorbanan besar yang boleh dilakukan oleh umat Islam,” katanya.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), situasi yang tidak menentu berikutan COVID-19 menyulitkan proses untuk mengimport haiwan ternakan ke Singapura dan juga untuk melaksanakan ibadat korban di masjid di republik berkenaan pada tahun ini.

“Ini memandangkan keadaan yang tidak menentu dalam tempoh dua bulan mendatang dan proses untuk mengimport haiwan ternakan, mengedarkan haiwan itu ke masjid dan menganjurkan penyembelihan di masjid memerlukan pelaksanaan yang teliti dan perancangan awal,” menurut kenyataan tersebut.

Untuk baca lebih banyak artikel berkenaan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca