COVID-19: Hilang Selera Dan Deria Bau Simptom Baharu Wabak

Pakar telah menyifatkan kehilangan selera makan dan deria bau sebagai antara gejala penyakit wabak Koronavirus baharu (COVID-19) bagi pesakit yang tidak mempunyai simptom demam atau batuk.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Otorinolaringologi British, tanda-tanda baharu berkenaan mungkin dipamerkan oleh pesakit asimtomatik yakni mereka yang tidak mempunyai gejala demam dan batuk.

Mereka yang mempunyai gejala baharu ini juga dinasihatkan untuk mengasingkan diri bagi mengurangkan penularan virus berbahaya tersebut.

Berikut merupakan proses yang berkemungkinan dilalui pesakit.

Hari pertama

Pesakit mengalami demam dan keletihan, sakit otot dan batuk kering. Sebahagian kecil turut mempunyai gejala cirit-birit atau mual di antara satu sehingga dua hari.

Hari kelima

Bagi pesakit yang lebih berusia atau mempunyai masalah kesihatan sedia ada, mereka berkemungkinan akan mengalamai kesukaran unuk bernafas (dyspnea). Simptom ini mungkin berlaku selepas dua sehingga 14 hari sejurus mengalami gejala demam, batuk dan sesak nafas.

Hari ketujuh

Pesakit yang mula menunjukkan tanda-tanda keletihan akibat dyspnea perlu dimasukkan ke hospital dan mendapatkan perhatian perubatan sekiranya keadaan melarat sehingga menyebabkan bibir atau wajah berubah kebiruan.

Hari kelapan

Pesakit yang mengalami kes teruk akan menunjukkan tanda-tanda sindrom kesukaran pernafasan akut (ARDS). Pada ketika ini, paru-paru tidak dapat memberikan oksigen yang mencukupi kepada organ penting badan.

Hari kesepuluh

Pesakit akan mengalami masalah pernafasan yang lebih teruk dan perlu dimasukkan ke unit penjagaan rapi (ICU).

Hari kedua belas

Pada tahap ini demam akan berkurangan. Walau bagaimanapun, pesakit akan mengalami gejala batuk yang lebih lama.

*Analisis yang dilakukan Public Health England berdasarkan kes yang berlaku di Hospital Jinyintan dan Hospital Pulmonari Wuhan selepas 29 Disember dan 31 Januari.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak COVID-19, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca