COVID-19: Haiwan Peliharaan Milik Individu Yang Positif Perlu Dikuarantin

Haiwan peliharaan milik individu yang disahkan positif COVID-19 perlu diasingkan dan dikuarantin selama 14 hari. Ia bagi tujuan pemantauan kesihatan.

*gambar sekadar hiasan

Pensyarah Kanan (Imunologi Veterinar), Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia iaitu Dr. Farina Mustaffa Kamal berkata, jika haiwan itu menunjukkan sebarang masalah kesihatan dalam tempoh tersebut, penjaga perlu merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah untuk tindakan susulan.

Katanya, walaupun tiada bukti haiwan peliharaan boleh menyebarkan wabak COVID-19, tetapi haiwan boleh dijangkiti penyakit itu, seperti yang dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE).

“Dua kes jangkitan COVID-19 membabitkan haiwan peliharaan, iaitu kucing dan anjing sudah dilaporkan di Belgium dan Hong Kong yang berpunca daripada pemiliknya positif wabak itu.

“Jadi, haiwan peliharaan ini disyaki terjangkit daripada kontak rapat individu positif COVID-19, melalui ciuman, pelukan atau pengendalian haiwan, tanpa membasuh tangan,” kata Dr. Farina ketika dihubungi Bernama.

Walau bagaimanapun beliau berkata, setakat ini kes jangkitan ke atas haiwan peliharaan adalah amat terpencil dan tiada maklumat yang lebih jelas mengenai simptom haiwan dijangkiti COVID-19, malah kebanyakannya tidak menunjukkan sebarang tanda.

“Hanya kes seekor kucing di Belgium yang menunjukkan simptom masalah pernafasan, cirit-birit dan muntah. Namun perlu diingatkan, terdapat agen virus atau bakteria lain yang boleh menyebabkan simptom yang sama pada haiwan,” ujarnya.

Berikutan dengan itu, beliau menegaskan lebih baik jika langkah kuarantin dan pengasingan diri daripada haiwan peliharaan dilakukan lebih awal, sebaik sahaja pemilik menyedari diri mereka mempunyai simptom dijangkiti COVID-19. Perkara ini supaya sebarang kemungkinan untuk wabak ini menjangkiti haiwan dapat dielak dari awal.

“Jika waktu itu tiada orang lain yang boleh mengendalikan haiwan milik anda, pakailah penutup muka serta sarung tangan ketika memberi makan dan minum, membersihkan sangkar dan najis haiwan peliharaan itu,” tegasnya.

Tambah Dr. Farina, tiada bukti jelas ada spesis haiwan tertentu yang lebih mudah dijangkiti secara semula jadi, namun beliau menegaskan dalam situasi negara dilanda pandemik COVID-19 ini, pemilik amat digalakkan mengurung haiwan peliharaan di dalam rumah.

“Setakat ini, kajian menunjukkan virus ini (COVID-19) boleh menjangkiti kucing, feret dan monyet.

“Namun begitu, feret dan monyet merupakan haiwan makmal yang digunakan dalam kajian berkaitan coronavirus,” jelasnya.

Mengulas tentang nasib haiwan jalanan pula, beliau berkata kebanyakan kucing jalanan selalunya lebih sukar didekati. Perkara ini kerana haiwan berkenaan tidak biasa berinteraksi dengan manusia.

“Jadi secara logiknya, kurang kontak rapat seperti ciuman, pelukan antara manusia dan kucing jalanan, namun saranan daripada OIE dan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) perlu diguna pakai, jika mengendalikan haiwan peliharaan, mahupun jalanan,” katanya.

*gambar sekadar hiasan

Mengulas lanjut mengenai coronavirus, jangkitan kuman dan virus terhadap haiwan, Dr. Farina berkata secara amnya, coronavirus adalah kumpulan keluarga virus yang besar dan menjangkiti spesis haiwan yang berlainan.

Katanya, kebanyakan virus terbabit bukan zoonotik, atau bermaksud jangkitan itu terhad di dalam haiwan sahaja.

“Contoh virus yang boleh menjangkiti haiwan domestik ialah seperti anjing (canine coronavirus), kucing (feline coronavirus), ayam (infectious bronchitis virus), babi (porcine epidemic diarrhea virus dan transmissible gastroenteritis virus).

“Hanya SARS-CoV, MERS-CoV yang dikenal pasti berpunca daripada haiwan, iaitu kelawar dan boleh menjangkiti manusia,” ulasnya.

Sementara itu, katanya bagi SARS-CoV2 iaitu virus penyebab COVID-19, analisa jujukan virus mendapati terdapat 96 peratus persamaan dengan virus yang dijumpai di dalam kelawar, namun kajian belih mendalam masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar.

Apa-apa pun, pencegahan seperti menguarantinkan haiwan peliharaan perlu diambil. Hal ini kerana kita perlu berjaga-jaga dengan sebarang risiko dan kemungkinan yang boleh menyebabkan COVID-19 makin menular.

Untuk baca artikel lain berkenaan haiwan dan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca