COVID-19: Dr. Noor Hisham Akui Tertekan, Tidak Boleh Tidur

Penularan wabak COVID-19 sejak awal tahun ini ternyata memberikan kesan dan tekanan bukan sahaja kepada petugas barisan hadapan, malah kepada warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mendedahkan bahawa beliau turut mengalami kelesuan serta tekanan mental dan fizikal yang amat tinggi.

“Ini adalah kerana kami berperang berterusan tanpa henti untuk 10 bulan tanpa cuti. Setiap hari, kami ada mesyuarat dan ada tindakan (susulan).

“Setiap lapisan warga kerja KKM membuat kerja dengan sebaik mungkin dan mungkin ada yang terkesan iaitu tekanan yang tinggi.

“Termasuk KP (Ketua Pengarah) Kesihatan juga (berdepan) tekanan yang amat tinggi,” katanya  pada sidang media hariannya pada Rabu (semalam).

Dr. Noor Hisham turut mengakui bahawa kelesuan itu turut menyebabkan beliau mengalami kesukaran untuk tidur.

“Kadang-kadang malam pun tidak boleh tidur kerana kami perlu fikirkan pelbagai aktiviti dan bagaimana kami boleh selesaikan masalah ini.

“Walaupun diberikan masa untuk berehat, kami tidak boleh berehat.“Tengah malam pun bangun pada jam 3 atau 4 pagi dan masih memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata rata-rata kakitangan KKM masih dapat bertahan dan kekal bersemangat untuk memastikan COVID-19 lenyap daripada bumi Malaysia ini.

Semoga seluruh kakitangan KKM dan para petugas barisan hadapan yang lain diberikan kekuatan dan kecekalan hati untuk mengharungi saat getir ini.

Untuk baca artikel-artikel lain berkaitan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca