COVID-19: Bimbang Jumlah Mangsa Meningkat, #LockDownMalaysia Trending Di Twitter

Oleh kerana peningkatan jumlah kes secara mendadak sehingga 428 mangsa yang berjangkit kerana koronavirus atau nama rasminya COVID-19, ia membuatkan rakyat Malaysia menjadi bimbang dan meminta agar kerajaan melakukan perintah berkurung di Malaysia bagi membendung virus ini.

Luahan mereka itu disampaikan melalui tanda pagar Lock Down Malaysia sehingga membuatkan ia menjadi trending tempat pertama di Malaysia.

Rata-rata warganet merayu agar kerajaan bertindak pantas dalam membendung virus ini dan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh negara lain seperti Itali yang mempunyai kenaikan kes jumlah kematian yang mendadak.

Majoriti daripada mereka bimbang kerana sifat tidak endah oleh segelintir rakyat Malaysia tentang bahaya virus ini dan tindak laku mementingkan diri sebahagian daripada mereka yang disyaki berjangkit tetapi masih mahu mengunjungi kawasan yang mempunyai orang ramai.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagaimanapun menasihati orang ramai agar tidak menggunakan perkataan Lock down untuk mengelakkan tercetusnya panik di antara rakyat Malaysia.

Ada di antara warganet yang tidak setuju dengan keputusan KKM yang menafikan perintah berkurung ini kerana bagi mereka ia merupakan inisiatif yang elok untuk memberi kesedaran kepada mereka yang masih lalai dan berdegil dengan mengujungi kawasan yang ramai dan mudah terdedah dengan virus ini.

Selain itu, ada antara mereka juga tidak mahu menunggu sehingga ada kes kematian berlaku baru kerajaan melakukan perintah berkurung ini.

Walaupun pihak KKM tidak pernah berhenti memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa keadaan masih lagi dalam terkawal, namun ia masih tidak mampu membendung perasaan panik yang muncul dalam masyarakat.

Tetapi jika kita lihat pada sudut positif, terdapat kenaikan jumlah pesakit yang sembuh daripada virus tersebut yang menunjukkan pihak KKM dan kerajaan telah berusaha sepenuhya untuk membendung virus ini.

Apa-apapun, kita harus percaya dengan keputusan yang dibuat oleh pihak KKM, Menteri Kesihatan kita Dr Adham Baba dan kerajaan dalam mengendali isu seperti ini.

Jika tersilap percaturan ia mungkin akan membawa kepada kemudaratan kepada negara kita. Rakyat juga dinasihatkan untuk mengikut langkah-langkah penjagaan diri seperti kerap kali membasuh tangan dengan sabun dan memakai topeng muka.

Jika anda mempunyai simptom seperti demam, batuk dan selsema elakkan daripada berada di kawasan orang ramai dan tutup mulut anda untuk mengelakkan berlakunya penyebaran virus. Semoga pandemik ini dapat dibendung dengan segera dan kita semua dapat menyambut ramadhan dengan aman dan selamat.

Untuk membaca artikel lain berkenaan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca