COVID-19: Beri Kelonggaran Kepada Pelajar Untuk Memilih – Syed Saddiq

Ahli parlimen Muar iaitu YB Syed Saddiq meminta semua institusi pengajian tinggi (IPT) memberi kelonggaran kepada pelajar yang menghadapi kesukaran untuk belajar secara dalam talian bagi menangguh sementara pengajian semester ini. Beliau menulis pendapatnya itu di laman sosial Twitter peribadinya.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak universiti/kolej/pusat pusat pengajian yang menjalankan online class bagi memastikan mahasiswa tidak ketinggalan & saya amat teruja melihatkan para pensyarah yang sanggup belajar menggunakan platform “online” untuk mengajar,” tulis Syed Saddiq.

Syed Saddiq menyatakan bahawa ada sesetengah pelajar tidak mempunyai akses dan kemudahan internet yang baik di rumah mereka. Ia menyebabkan pelajar itu sukar untuk meneruskan pembelajaran dalam talian walaupun kerajaan telah mengambil inisiatif memberi internet 1GB percuma setiap hari.

“Tapi, di saat universiti ingin memastikan pelan pendidikan pelajar tidak tergugat atau terjejas, saya berharap agar universiti tidak lupakan mahasiswa kita yang mungkin tidak mempunyai akses komputer atau internet di rumah.

“Walaupun kerajaan telah mengumumkan inisiatif 1GB percuma setiap hari, ada lagi kawasan kawasan pendalaman yang tak mampu nak dapat akses tersebut. Bukan mereka pilih untuk tidak turut serta dalam online class. Tapi situasi mereka yang tidak mengizinkan.

“Universiti juga perlu memikirkan tentang keadaan mahasiswa yang tidak mempunyai keadaan hidup yang kondusif di rumah. Bayangkan betapa sukarnya untuk mereka belajar atau turut serta dalam online class dalam keadaan bersesak di rumah dengan talian yang kerap terputus putus,” tulis bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Oleh sebab itu, beliau mengharapkan pihak IPT mencarai jalan tengah untuk pelajar bagi memastikan kualiti pendidikan mahasiswa terjaga.

“Berikanlah mereka peluang untuk membuat pilihan. Bagi yang ingin meneruskan semester, pelbagai platform atas talian boleh digunakan untuk meneruskan kelas bersama mereka. Atau muat naik modul modul bagi mereka meneruskan sesi pembelajaran sendiri.

“Pada masa yang sama, bagi pelajar yang tidak mempunyai akses seperti kawan kawannya yang lain, berikan mereka pilihan untuk menangguhkan semester,” tulis beliau lagi di laman Twitternya.

Syed Saddiq juga menyatakan bahawa mahasiswa sudah dewasa dan mereka mampu membuat pilihan yang terbaik dan sesuai untuk mereka. Beliau juga yakin pihak IPT menginginkan yang terbaik untuk mahasiswa semua.

Untuk baca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca