COVID-19: ATM Nafi Diberi Kuasa Mengasari Pihak Yang Ingkar Perintah Kawalan Pergerakan

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan yang mengatakan anggota tentera diberi hak untuk memukul mana-mana individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

ATM juga tidak merancang untuk meminta bantuan veteran tentera bagi membantu menguatkuasakan PKP. Ia hanya dakwaan yang tular di media sosial.

Panglima Angkatan Tentera iaitu Jeneral Tan Sri Affendi Buang menegaskan dakwaan yang tular di media sosial itu adalah berita palsu dan pihak yang menyebarkannya boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“ATM menafikan sekeras-kerasnya bahawa rakaman nota suara dan mesej informasi (anggota tentera diberi kuasa pukul orang awam dan memohon bantuan veteran ATM) adalah menggambarkan kaedah yang diguna pakai oleh ATM dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menguatkuasa PKP.”

“Masyarakat diminta berhenti menyebarkannya serta-merta kerana mesej atau informasi itu boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perkara ini kerana tular nota suara berdurasi 39 saat serta mesej mendakwa anggota tentera akan terus memukul mana-mana individu yang melanggar PKP.

Turut ditularkan adalah dakwaan kononnya Kementerian Pertahanan akan memohon bantuan veteran tentera bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan untuk membantu pihak berkuasa menjalankan PKP. Perkara ini juga turut dinafikan Affendi.

Mengulas lanjut tentang perkara ini, Panglima Angkatan Tentera itu menjelaskan bahawa orang awam tidak perlu bimbang jika melihat kehadiran anggota ATM kerana mereka hanya menjalankan tugas sekunder di waktu aman, iaitu membantu pihak berkuasa awam untuk memelihara keselamatan negara.

“Orang ramai perlu bekerjasama dalam mematuhi PKP agar usaha membendung penularan COVID-19 dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” kata Tan Sri Affendi.

Untuk baca artikel lain berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca