Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan terdapat sebanyak empat pertambahan kematian akibat wabak Koronavirus baharu (COVID-19).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, laporan terbaharu itu sekali gus menjadikanjumlah kumulatif kes kematian akibat wabak COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak lapan orang sehingga kini.
Beliau berkata, kes kematian kelima membabitkan seorang wanita warganegara Malaysia berusia 79 tahun yang telah dimasukkan ke Borneo Medical Centre pada tanggal 16 Mac 2020 setelah mengalami demam dan batuk selama lima hari.

Pada hari kedua, mangsa dilaporkan mengalami kesukaran bernafas namun keluarganya tidak bersetuju untuk memberikan bantuan alat pernafasan. Individu terbabit kemudiannya dibawa pulang pada 17 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya (18 Mac 2020).
“Mangsa kelima ini mempunyai kontak dengan dua lagi yang disahkan positif yakni anak lelaki dan perempuannya,” terang Datuk Dr. Noor Hisham.
“Bagi kes kematian keenam pula, ia melibatkan seorang wanita warga Malaysia berusia 40 tahun yang juga merupakan anak perempuan kepada mangsa kes kematian kelima.”

Mangsa keenam dilaporkan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac selepas mengalami demam dan batuk semenjak 17 Mac lalu.
“Beliau (mangsa keenam) disahkan positif COVID-19 pada 19 Mac dan diberikan bantuan pernafasan pada hari sama usai mendapati kesihatannya semakin merosot.”
“Walau bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 tengah hari pada hari ini.”
Menurut Datuk Dr. Noor Hisham lagi, kes kematian ketujuh pula membabitkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 57 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam. Selain itu, mangsa juga merupakan kontak dengan kes positif COVID-19 daripada kluster tabligh di Sri Petaling.

Jelas Ketua Pengarah Kesihatan itu lagi, lelaki berkenaan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada Rabu lalu selepas mengalami demam, batuk dan sakit tekak selama seminggu.
“Kesihatan mangsa kes ketujuh semakin merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan keesokan harinya sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 3.22 petang hari ini.”
Mengenai kes kematian kelapan pula, Datuk Dr. Noor Hisham berkata, ia melibatkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 69 tahun daripada kluster tabligh Sri Petaling.

Terang beliau, mangsa dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac (Selasa) selepas mengalami gejala demam semenjak 12 Mac sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada Rabu lalu selepas keadaannya semakin merosot sehingga memerlukan alat bantuan pernafasan keesokannya.
“Beliau disahkan meninggal dunia hari ini, tanggal 21 Mac 2020 pada jam 4 petang,” katanya.
Pihak Lejen Press Digital mengucapkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa.
Patuhilah Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan supaya Malaysia berjaya membendung penularan wabak COVID-19.
Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, sila klik pada pautan di bawah: