COVID-19: 14 Peratus Pesakit Sembuh Kembali Positif

Kira-kira 14 peratus pesakit yang sembuh daripada jangkitan Koronavirus baharu (COVID-19) dan telah dibenarkan keluar dari hospital di wilayah Guangdong didakwa kembali positif virus tersebut menerusi pemeriksaan susulan yang dijalankan ke atas mereka.

Menurut laporan, pihak berkuasa tempatan berpendapat hal itu berlaku kerana terdapat kemungkinan pesakit yang sembuh masih membawa virus maut berkenaan.

Timbalan Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Guangdong (Guangdong CDC), Song Tie berkata, tiada kesimpulan jelas bagaimana ia boleh berlaku dan mengapa pesakit masih didiagnos positif Koronavirus.

“Menerusi laporan awal, pakar percaya sebenarnya pesakit pulih daripada jangkitan paru-paru dan belum sembuh sepenuhnya,” ujar Song Tie.

“Walau bagaimanapun, kami bersedia menempatkan semula pesakit yang disahkan positif di bawah pemantauan rapi. Pihak berkuasa kesihatan juga akan memantau pesakit lain yang sudah dibenarkan keluar.”

Dalam pada itu, menurut garis panduan rawatan terbaharu COVID-19 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, pesakit boleh dianggap sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital apabila dua ujian dilakukan berturut-turut pada tekak atau hidung disahkan negatif bersama imbasan tomografi berkomputer (CT) yang mengesahkan tiada jangkitan pada paru-paru atau simptom jelas seperti demam.

Selain itu, garis panduan berkenaan juga menyarankan pesakit yang sudah sembuh supaya sentiasa memantau perkembangan kesihatan mereka dengan rapi dan mengehadkan aktiviti luar selama dua minggu usai meninggalkan hospital serta pergi melakukan ujian semula pada minggu berikutnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penyakit Berjangkit di hospital itu, Cai Weiping memberitahu kesemua keputusan positif pada pesakit telah sembuh diperoleh daripada ujian pada dubur yang merupakan kaedah jarang digunakan di wilayah lain di China.

Meskipun garis panduan kesihatan sebelum ini mengesyaki virus itu tersebar melalui titisan cecair pernafasan, penyelidikan dilakukan Universiti Perubatan Guangzhou menemui virus itu daripada sampel najis yang menunjukkan cara baharu penyebaran sehingga menyebabkan beberapa hospital di Guangdong melakukan prosedur tersebut.

Sehingga lewat Isnin lalu, Guangdong melaporkan 1,347 kes jangkitan dan 805 pesakit disahkan pulih manakala angka kematian mencecah tujuh orang.

Kes sama melibatkan pesakit sembuh disahkan positif semula Covid-19 turut dilaporkan di wilayah Sichuan dan Hainan.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak Koronavirus (COVID-19), sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca