‘Cosplay’ Sebagai Terapi Buat Mereka Yang Kurang Keyakinan Diri

Sejak lewat tahun 1990-an, populariti anime ataupun kartun Jepun dan komik telah meningkat hingga terdapat lebih 20 pesta yang dianjurkan berkaitan anime.

Selain daripada menjual barangan berkaitan dengan anime, kita juga boleh saksikan peminat memakai kostum yang serupa dengan karakter kegemaran mereka. Ia dikenali sebagai cosplay.

Cosplayer memberi perhatian yang terperinci bukan sahaja kepada baju malah juga kepada solekan muka dan gaya rambut serta personaliti karakter itu.

Cosplay mampu membina keyakinan dan penghargaan kepada diri sendiri. Ia mungkin kelihatan ganjil dengan hanya berpakaian seperti karakter lain mampu meningkatkan keyakinan diri seseorang, tetapi apabila seseorang memakai pakaian hasil buatannya sendiri, secara tidak langsung mereka akan dikenali oleh komuniti yang menghargai usaha mereka.

Pengalaman Cosplayer Malaysia, Noyu

Noyu merupakan seorang pelajar dan cosplayer yang menjadikan aktiviti ini sebagai hobi. Beliau juga kerap menyertai acara-acara cosplay. Noyu kebiasaannya akan menjadi cosplayer di acara dan pesta seperti Animangaki, Comic Fiesta dan Cosmart yang dianjurkan di Malaysia.

Beliau telah menyertai aktiviti ini sejak 3 tahun lalu. Menurut Noyu, beliau mendapat inspirasi untuk menjadi cosplayer setelah melihat kostum yang dijahit dengan kemas dan cantik.

“Saya suka akan impak solekan dan cara mereka menjahit kostum itu. Tambahan lagi, kebolehan mereka untuk menjiwai karakter tersebut telah menyebabkan hati saya terdetik untuk mencuba cosplay.”

“Saya bersetuju bahawa cosplay mampu menjadi mekanisme terapi kerana dengan aktiviti cosplay, saya mampu mengasingkan diri saya daripada realiti walaupun hanya sekejap.”

Noyu juga memberitahu bahawa dia lebih gemar memilih untuk membeli kostum yang sedia ada kemudian dijahit semula untuk menjadikan ia lebih tepat dengan saiznya.

Penulis

  • Sumayyah Sulaiman adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca