Catatan Terbaharu Penuh Sinis Di Blog, Baca Coretan Tun M Mengenai Krisis Kewangan 1997

Menerusi catatan terbaru di blog peribadinya, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulas mengenai tindakannya semasa menghadapi krisis kewangan pada tahun 1997 hingga 1998 yang dikatakan hanya menguntungkan taikun-taikun di Malaysia.

Menurut Dr. Mahathir lagi, beliau mengakui yang cara kerajaan pada masa itu untuk mengatasi krisis kewangan tersebut membantu taikun-taikun di Malaysia.

Dengan nada penuh sinis, Dr. Mahathir berkata adalah baik jika membiarkan perniagaan para taikun ini rugi sehingga terpaksa ditutup. Oleh itu, semua kakitangan mereka akan menganggur serta eksport negara akan merosot dan juga tiada pengaliran wang asing ke dalam negara.

Manakala pihak kerajaan pada masa itu, menurut Dr. Mahathir lagi akan kehilangan cukai korporat dan cukai pendapatan kerana sebahagian besar cukai dibayar oleh taikun. Ini bermakna, sebahagian besar dana kerajaan akan hilang sekali gus tidak dapat meneruskan operasi dan pembangunan negara. Segala infrastruktur untuk negara juga tidak dapat dibangunkan.

“Dalam keadaan kehilangan cukai ke atas taikun kita terpaksa mengenakan cukai kepada yang bukan ditakrif sebagai taikun. Setelah membayar cukai oleh bukan taikun, mereka akan masuk dalam golongan mereka yang miskin,” tambah Dr. Mahathir lagi di dalam catatannya.

Sekali lagi dengan nada yang sinis, Dr. Mahathir menambah semua taikun ini boleh dihalau keluar dan tidak perlu ditolong oleh kerajaan lagi, seterusnya membiarkan mereka bankrap dan menolong mereka yang bukan taikun sahaja.

“Tetapi dengan apakah yang kita hendak tolong bukan taikun ini selepas semua taikun tidak dapat bayar cukai,” soal Dr. Mahathir, sambil mengakhiri catatannya dengan meminta maaf kerana tindakannya mengatasi krisis kewangan pada tahun 1997-1998 menguntungkan taikun.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca