Cipta Akaun Instagram Palsu, Dato’ Siti Mohon Jangan Guna Nama Aafiyah

Penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza semakin bimbang berikutan terlalu banyak akaun yang menggunakan nama anak kecilnya, Siti Aafiyah di laman Instagram.

Beliau turut menyatakan rasa kecewanya apabila mendapati kewujudan akaun Instagram palsu tersebut digunakan semata-mata untuk meraih keuntungan.

“Terlalu banyak akaun yang menggunakan nama Aafiyah sehingga membuatkan orang ramai menjadi keliru. Malah, ada akaun yang menggunakan nama Aafiyah untuk menjual produk, sedangkan saya tidak menjalankan perniagaan dimaksudkan,” kata beliau.

Menyedari hal ini semakin membimbangkan, beliau memohon kepada semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan nama Aafiyah sebagai cara untuk memperoleh pendapatan.

Beliau juga meminta kepada para peminatnya untuk lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan akaun laman sosial palsu berkenaan.

Jelasnya lagi, beliau memohon agar warganet tidak mengambil kesempatan lebih-lebih lagi kini terdapat banyak jumlah akaun Instagram palsu yang angkanya mencecah ratusan bukan puluhan. Beliau juga berpesan agar jujur dalam melaksanakan perniagaan dan tidak menyalahgunakan nama Aafiyah.

Siti mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006 dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Siti Aafiyah yang kini berusia satu tahun.

Artikel Lain Untuk Di Baca