Jika menonton filem atau membaca novel romantik, pasti kita biasa lihat atau bayangkan watak lelaki dan perempuan berjumpa di suatu tempat sebelum jatuh cinta saat pandang pertama. Sweet bukan?

Namun itu hanyalah fiksyen dan hidup kita adalah non-fiksyen.

Sekumpulan penyelidik di Universiti Groningen, Belanda telah menyiasat betul ke fenomena ‘Cinta pandang pertama’ ini wujud?

Mereka mengujinya dengan tiga kaedah penyelidikan termasuk kajian makmal, kajian dalam talian dan pemantauan terhadap beberapa temu janji.

Seramai 396 orang di Jerman dan Belanda terlibat sebagai subjek kajian yang mempunyai pengalaman jatuh cinta pandang pertama atau tidak.

Para subjek ini ditanya tentang bagaimana mereka tertarik dengan seseorang. Kemudian, mereka turut diminta untuk memberikan gambaran mengenai perasaan mereka terhadap konsep keghairahan, minat fizikal, keintiman dan komitmen.

Hasil kajian menunjukkan 32 orang peserta (kebanyakannya lelaki) telah mengalami 49 kali cinta pandang pertama pada orang yang mereka jumpa ataupun hanya dengan melihat gambar.

Bagaimanapun pengalaman ‘cinta pandang pertama’ ini bersandarkan pada daya tarikan fizikal, bukan komitmen dan keintiman apatah lagi cinta.

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), seorang pakar psikologi hubungan, Caitlin Bergstein juga senada dengan hasil kajian itu.

Beliau menyatakan cinta pandang pertama biasanya tidak bertahan lama, berjangka pendek kerana ia hanyalah reaksi biologi terhadap hawa nafsu dan daya tarikan yang boleh pudar serta-merta selepas tempoh waktu tertentu.

Namun begitu, ini tidak bermakna cinta pandang pertama 100% berlandaskan tarikan fizikal saja. Menurut Bergstein lagi, cinta tersebut juga boleh menjadi fasa awal kepada cinta sejati.

“Untuk benar-benar mencintai seseorang, anda mesti benar-benar mengenali mereka,” katanya.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda