‘Christian The Lion’, Kisah Persahabatan Singa Dan Manusia Yang Menyentuh Perasaan Jutaan Orang

Kisah tentang seekor singa yang bakal kami kongsikan ini sangat menyentuh hati. Jadi, wajib sediakan tisu sebelum baca.

Mari kita semua berkenalan dengan seekor anak singa ini yang lahir di sebuah zoo yang bertempat di London. Anak singa ini diberi nama Christian atau ia lebih terkenal dengan julukan Christian the Lion.

Pada tahun 1969, dua orang sahabat iaitu John dan Ace Bourke yang berasal dari Australia telah berkunjung ke Kota London.

Sewaktu berada di sana, mereka telah berkunjung ke The Harrods untuk menemani rakan mereka mencari haiwan peliharaan. Ketika itu, mereka ternampak kelibat seekor anak singa yang dikurung di dalam sangkar kecil. Ia memandang tepat ke arah mereka seolah-olah berkata, “Keluarkan aku dari sini.”

Pada waktu itu, Harrods ada menyediakan satu bahagian di mana ia dipanggil sebagai zoo komersial. Haiwan peliharaan eksotik ditempatkan di bahagian tersebut. Tanpa berfikir panjang, kedua-dua sahabat tadi mengambil keputusan untuk membeli dan memelihara Christian.

Walaupun pada hakikatnya Christian itu merupakan seekor singa, ia dipelihara seperti ‘adiknya’ iaitu kucing. Christian dibiarkan bergerak bebas di dalam rumah. Malah, ia juga dibawa berjalan ke rumah kawan-kawan John dan Ace. Pada masa yang sama, Christian yang bersifat lucu dan jinak itu kadang-kadang dibawa makan di restoran.

Tidak lama selepas itu, kedua-dua sahabat itu sedar bahawa Christian berhak untuk hidup bebas seperti singa-singa yang lain. Walaupun perangainya persis kucing, tiada apa yang dapat mengubah kenyataan bahawa ia adalah seekor singa.

Malah, saiznya juga makin bertambah dari hari ke hari. Atas sebab itu, meskipun berat hati, mereka tetap mengambil keputusan untuk mengembalikan Christian ke tempat asalnya iaitu di Afrika.

Perpisahan itu cukup menyedihkan buat mereka. Meskipun tidak lagi tinggal sebumbung, Christian tetap segar dalam ingatan mereka. Setahun kemudian, John dan Ace mengambil keputusan untuk melawat Christian di Afrika.

Sebelum berjumpa dengan singa yang pernah menjadi binatang peliharaan mereka itu, John dan Ace diberi amaran yang kemungkinan Christian tidak lagi mengenali mereka. Mereka juga diberi peringatan untuk berhati-hati kerana Christian yang dulunya manja dan jinak mungkin kini bersifat ganas dan liar. Tambahan pula, Christian juga merupakan ketua kepada sekumpulan singa di situ.

Namun begitu, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Christian yang dikhuatiri akan menyerang John dan Ace sebaliknya berlari ke arah mereka untuk melepaskan rindu yang terkubur selama ini. Momen tersebut sangat menyentuh hati. Sekiranya Christian mampu bercakap, mungkin soalan seperti “Mana kalian pergi selama ini?” atau “Aku sudah lama menanti kalian berdua” akan keluar dari mulutnya.

Inilah salah satu kisah benar yang sangat unik dan menyentuh hati. Patutlah rata-rata yang menonton video reunion tersebut meninggalkan komen yang mengatakan mata mereka seolah-olah baru lepas potong bawang. Tonton sendiri dan siap sedialah untuk mengalirkan air mata.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca