Gara-gara dianggap rasis, jenama antarabangsa Dolce & Gabbana harus membatalkan pertunjukan jenama berkenaan di China susulan tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka.
Perkara tersebut dikatakan berlaku selepas satu video kempen persembahan fesyen tersebut menimbulkan perasaan kurang senang terhadap penduduk China.
Video kempen yang dilancarkan dengan durasi kurang seminit itu turut mendapat kecaman orang ramai dan artis di China hingga mereka mengambil keputusan memboikot pertunjukan fesyen itu.
Dalam video yang dimuat naik di laman sosial Instagram jenama tersebut menunjukkan seorang model wanita China anggun mengenakan busana Dolce & Gabbana seolah-olah mengalami kesukaran menggunakan penyepit (chopstick) untuk menikmati piza, cannoli dan spageti.
Salah satu pengguna Instagram juga telah memuat naik satu tangkapan skrin bahawa pereka fesyen Stefano Gabbana menggelar China sebagai negara yang jijik.
Gabbana bagaimanpun menafikan ada mengeluarkan kenyataan itu dan mendakwa bahawa akaun Instagramnya telah digodam. Dia juga menjelaskan dia amat menyukai China dan budaya masyarakat itu.
Rata-rata pengikut akaun Instagram jenama tersebut dilihat meyatakan kekecewaan mereka berkenaan isu terbabit.