Chef selebriti iaitu Chef Adam Mohamed Ismail atau lebih dikenali Adamdidam menghembuskan nafas terakhir pada usia 29 tahun.

Berita sedih ini dikongsikan oleh sepupu arwah, Natasha Amran menerusi laman Instagramnya pada pagi ini.

Pada masa yang sama, selebriti dan pengacara terkenal, Neelofa yang merupakan anak saudara kepada arwah turut memuat naik semula posting itu di Instastory beliau. Neelofa juga berkongsi gambar mereka ketika zaman kanak-kanak.

Menurut seorang sepupu lelaki Adam yang tidak mahu dikenali, arwah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5 pagi tadi disebabkan jangkitan paru-paru.

“Kami (pihak keluarga) memang mengetahui tentang keadaan kesihatan Adam yang menderita sudah lama,” katanya.

“Sejak Februari lagi keadaan dia sudah tidak berapa okey,” tambahnya lagi.

Adam dijemput Ilahi di kediaman ibu bapanya di Kota Bharu, Kelantan dan solat jenazah bakal diadakan di Masjid Telipot.

Selepas solat Zohor, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lemal, Pasir Mas.

Sebelum ini, Adamdidam memuat naik satu posting di laman Instagram yang seolah-olah memberi bayangan tentang keadaan kesihatan diri beliau.

“Sudah terlalu lama saya menghilang. Apabila sesuatu berlaku, memang sukar untuk mengembalikan kehidupan anda kepada sediakala. Sekelip mata, hidup anda berubah 360! Dan perancangan anda? Lupakan sahaja. Ia hilang. Anda rasa tidak berdaya.”

“Terlalu banyak berfikir dan semua perkara mengarut menerjah ke fikiran. Sekurang-kurangnya itu apa yang saya rasa. Tetapi percayalah, selepas semua masalah, ada kehidupan yang kuat, sihat dan bahagia yang menanti anda.”

“Sebuah hidup yang lebih baik! Diri anda yang lama akan hilang, tetapi yang baharu ada di sini. Bukannya buruk, tetapi semangat yang lebih baik. Sesiapa yang berdepan ujian, ingatlah, Dia memberikan ujian paling getir kepada hamba-Nya yang paling disayangi,” coret Adam pada 20 Februari lalu.

Adam merupakan peserta rancangan Hero Oven musim kedua siaran TV3.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
Sumber:

mStar

0
like
0
love
0
haha
0
wow
0
sad
0
angry