Chanel Mengumumkan Virginie Viard Sebagai Pengarah Kreatif Yang Baharu

House of Chanel telah membuat keputusan penting bagi menentukan masa depan syarikat itu dengan melantik pengarah Fashion Creation Studio Chanel, Virginie Viard sebagai pengarah kreatifnya yang baharu bagi mengantikan Karl Lagerfeld yang menghembuskan nafas terakhirnya tanggal 19 Februari lalu pada usia 85 tahun.

Siapa sebenarnya Virginie Viard?

Bermula sebagai ‘intern’ di Chanel

Menurut laporan The Telegraph, karier Viard di Chanel bermula sebagai pelatih untuk persulaman ‘haute-couture’ pada 1987, empat tahun selepas Lagerfeld menjadi pengarah kreatif bagi jenama ikonik Perancis itu. Pegawai kepada Putera Rainier dari Monaco yang mengesyorkan Chanel untuk mengambil Viard bekerja.

Bekerja dengan Lagerfeld untuk lebih 30 tahun

Selepas bekerja bersama di Chanel, Viard menyertai Lagerfeld di Chloé dan bekerja di sana selama lima tahun sebelum kembali ke Chanel sebagai koordinator haute-couture, maklumnya kepada majalah Perancis, Crash. Dia mula mengerjakan pakaian siap-pakai pada tahun 2000.

“Saya menjadikan koleksi ini nyata bersama pereka Métiers d’Art, berdasarkan lakaran Karl,” maklum Viard kepada The Telegraph pada 2017. “Saya menyelaras pasukan, merujuk kepada pembekal dan memilih fabrik. Kemudian, semestinya, saya membuat pemasangan dengan Karl. Sejurus mendapat lakaran daripadanya, proses bermula. Saya cuba untuk menyenangkannya, tetapi saya juga suka untuk memberinya kejutan.”

Viard menambah dia dan Lagerfeld berbual ‘setiap masa’ dan mereka berjumpa setiap hari. Ada kalanya Lagerfeld menghantar lakarannya menerusi telefon.

Dalam siri dokumentari Netflix berjudul 7 Days Out, Lagerfeld berkata, “Virginie adalah insan yang paling penting, bukan hanya untuk saya tetapi kepada pereka, kepada segalanya. Dia adalah ‘tangan kanan’ saya dan walaupun kami tidak bertemu, saya akan berhubung menerusi telefon dengannya.”

Mereka sangat akrab, adakalanya Lagerfeld akan menghantar teks kepada Viard sebagai kucingnya, Choupette.

Viard memberitahu kepada majalah W bahawa Lagerfeld akan menghantar mesej sebagai kucing kesayangannya Choupette, kadang-kala mesej dengan gambar haiwan peliharaan itu.

Persahabatan Lagerfeld dan Viard sama sekali tidak boleh dipertikaikan. “Dia adalah rektor kanan saya Virginie Viard, tangan kanan dan tangan kiri saya,” kata Lagerfeld kepada majalah Elle untuk isu November 2018. “Perhubungan kami sangat penting, digandakan dengan persahabatan yang sangat tulen.”

Mempunyai latar belakang rekaan kostum

Viard dilahirkan dalam keluarga yang cintakan fesyen. Atuk dan neneknya adalah pembuat sutera, katanya kepada majalah Crash. “Saya juga tertarik kepada industri ini, tetapi apa yang saya mahukan adalah membuat kostum untuk teater. Saya bermula dalam produksi kostum sebagai pembantu kepada Dominique Borg, yang dikenali menghasilkan kostum untuk Camille Claudel; kemudian saya menjadi pereka kostum untuk filem dan lakonan pentas, sehingga saya bertemu Karl, yang mencadangkan supaya saya bekerja di Chanel kemudian di Chloé.

Tampil untuk ‘final bow’ Lagerfeld dalam pertunjukan fesyen pada Januari

Bulan lepas, Lagerfeld tidak hadir pada pertunjukan fesyen Chanel di Paris kerana “keletihan”, menurut satu kenyataan daripada jenama Perancis itu. Viard menggantikannya, diiringi model Vittoria Ceretti.

Dia juga turut menyertai Lagerfeld untuk ‘final bow’ di pertunjukan Chanel Metiers d’Art 2018/2019 di New York pada Disember 2018 dan pertunjukan musim bunga/panas 2019 bertemakan pantai di Paris pada Oktober.

Walaupun punca rezekinya adalah dalam dunia fesyen, Viard juga membuat beberapa sumbangan dalam dunia filem, bekerja dengan pelakon Perancis, Isabelle Adjani dan pengarah, Bruno Nuytten. Dia turut mencipta kostum untuk filem Three Colors: Blue (1993) yang dibintangi Juliette Binoche dan Three Colors: White (1994), kedua-duanya diarahkan oleh pengarah Poland, Krzysztof Kieslowski.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca