Penyanyi Sufian Suhaimi sekali lagi meraikan kejayaan menerusi lagu Di Matamu apabila lagu itu menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records di mana muzik video lagu tersebut mencatat jumlah tontonan tertinggi bagi kategori lagu Melayu dan artis tempatan di saluran YouTube.
Lagu ciptaan Rinkarnaen dan Sirkhan itu dilancarkan pada 23 Mac tahun lalu dan tarikh itu jugalah Sufian sepatutnya membina mahligai perkahwinan bersama dengan pelakon, Elfira Loy. Oleh sebab itu, ia sering dikaitkan dengan kisah putus tunangnya.
Sufian mencetus fenomena apabila lagu cinta yang mempunyai lirik yang sangat mendalam itu telah meraih lebih 58 juta tontonan di YouTube.
Sufian menyifatkan pengiktirafan lagu tersebut sebagai pencapaian yang memang di luar jangkaan beliau. Pada masa yang sama, beliau sangat berbangga dan menganggap ia sebagai kejayaan bermakna memandangkan usia pembabitannya dalam bidang seni masih muda.
“Alhamdulillah atas pengiktirafan yang diberikan. Saya berterima kasih kepada pencipta lagu itu yang juga sahabat saya, Rinkarnaen dan Sirkhan.”
“Mereka berhempas-pulas menghasilkan lagu ini untuk memberikan kepuasan kepada peminat yang berulang kali mendengar Di Matamu,” katanya.
Pada 4 Februari lalu, Di Matamu turut menghadiahkan Sufian trofi apabila memenangi Persembahan Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL 33).
View this post on InstagramA post shared by Sufian Suhaimi 🇲🇾 (@sufiansuhaimi_) on
Menurut Sufian, beliau berharap kejayaan yang diperoleh ini menjadi titik permulaan untuk meraih lebih banyak pencapaian pada masa yang akan datang.
“Setiap kali merakamkan lagu, saya tidak pernah meletakkan sasaran untuk mencapai sesuatu kejayaan. Alhamdulillah, Di Matamu diterima dengan begitu baik.”
“Sudah pasti, saya mengharapkan lagu yang saya rakamkan selepas ini akan mendapat maklum balas yang lebih baik,” katanya.