Penulis: Amir Azmi
Alan dan tiga orang kawannya mengembara dalam sebuah hutan tebal yang terletak di antara dua buah negara. Mereka sudah jauh dari penempatan manusia. Keadaan sunyi dan sepi. Setiap kali berjalan hanya terdengar bunyi tapak kaki mereka.
Hutan itu jarang dikunjungi manusia kerana ia merbahaya. Ia terlalu luas sehingga boleh menyebabkan manusia sesat di dalamnya. Tidak ramai yang suka mengembara di situ. Ada juga ura-ura mengatakan bahawa di situ tinggalnya makhluk misteri digelar Bigfoot.
Setelah seharian berjalan dan mendaki, mereka akhirnya berhenti mendirikan khemah di satu kawasan yang lapang dan bersih sebelum hari gelap. Mereka mencari kayu api, membuat unggun api dan kemudian memasak makanan yang dibawa lalu makan bersama-sama. Selepas merehatkan diri di luar khemah beberapa ketika, mereka masuk tidur kerana keletihan.
Pada tengah malam itu, Alan terjaga apabila terdengar sesuatu di luar khemahnya.
“Mat kau ke tu?” Alan bertanya kerana menyangkakan kawannya yang berada di luar. Bunyi itu berhenti sejurus Alan bertanya. Kemudian kedengaran seolah-olah ada sesuatu sedang berjalan perlahan-lahan, mundar-mandir di luar khemahnya. Alan dapat dengar bunyi nafas dan dengusan yang kuat.
Alan mencapai lampu suluh. Dia mengejutkan kawannya yang sudah lena tidur di sebelahnya tetapi kawannya itu tidak terjaga. Tidur mati kerana kepenatan agaknya.
Alan memakai topi kerana keadaan sangat sejuk di luar. Zip khemah ditarik perlahan-lahan. Dia menjengukkan kepala ke luar khemah tetapi tidak nampak apa-apa. Mahu tak mahu dia terpaksa keluar juga.
Dia keluar dan menyuluh ke tempat mereka makan sebentar tadi dan terkejut dengan apa yang dilihatnya. Satu jasad seperti sosok manusia yang tiga kali ganda lebih besar dan badannya diselaputi bulu. Makhluk itu sedang duduk di tepi unggun api sambil mengacau sesuatu di dalam periuk.
“Tumpang masak megi sekejap,” kata makhluk itu sambil tersengih lantas membuat Alan terus pengsan.