CERTOT: Tempang

Sebuah kereta Mercedes Benz berwarna hitam metalik berhenti betul-betul di depan kedai haiwan peliharaan ‘Purr Pet’. Seorang budak lelaki berumur 12 tahun keluar daripada kereta itu dan masuk ke dalam kedai manakala pemandunya setia menunggu dalam kereta atas arahannya.

“Hai, awak Zain anak Datuk Malik kan? Tadi PA Datuk call kata awak nak cari kucing. Kucing jenis apa awak nak? Kami ada baka British short hair, kucing parsi, kucing rare dari Mesir pun kami ada.” kata Herman, tuan punya kedai itu yang masih muda dengan nada ceria dan tak berhenti bercakap. Inikan anak VIP, layanan harus kelas satu. Kalau pelanggan lain, dia buat tak nampak dan sambung tengok YouTube di kaunter.

Zain hanya tersenyum sebelum berjalan melihat satu persatu kucing dalam sangkar dan bilik khas sambil diikuti Herman. Kebanyakannya kucing gemuk, kuat tidur dan tidak mengendahkan kehadirannya.

Langkahnya terhenti dan matanya terpaku pada seekor anak kucing yang sedang mengesot di dalam sebuah sangkar. Mata si bulus kecil itu seolah-olah menatap Zain dan pandangan mereka bertaut buat seketika sebelum ia mengiau.

“Saya nak dia, si kecil ni.” kata Zain merujuk kepada anak kucing yang dilihatnya itu.

“Hah? Biar betul, kucing ni cacat, tempang, tak boleh berjalan dengan betul. Banyak lagi kucing-kucing lain. Kucing Bengal ni lagi cantik, macam harimau.” Herman cuba memujuk Zain untuk membeli kucing paling mahal di kedainya.

Tiba-tiba Zain menaikkan seluarnya hingga ke paras betis. Dia mencabut kaki kiri palsunya.

“Tak apa, saya faham perasaan kucing tempang tu.”

Artikel Lain Untuk Di Baca