CERTOT: Suatu Pagi Di Taman Haiwan

Penulis: Pak Badrul

Suasana pagi hujung minggu itu damai sekali. Aku pula asyik menyapu dedaun kering yang gugur dari pepohon. Sesekali aku berpaling melihat sepasang unta yang sedang bergurau-senda sambil menjamah potongan ubi keledek yang aku berikan sebentar tadi. Terdengar pula bunyi kocakan air dari kolam bersebelahan. Sang memerang yang kelaparan sedang ligat berenang mengejar ikan-ikan. Sekumpulan kambing bebiri dari kejauhan terlihat sedang berebutkan rumput segar yang baru dipotong.

Begitulah rutin setiap pagiku sebagai seorang penjaga haiwan. Segala sampah-sarap dan dedaun kering perlu dibersihkan. Binatang-binatang pula perlu diberi makan. Sekejap lagi pengunjung yang pertama akan tiba. Aku menyambung kerjaku seperti biasa.

“Ibu! Ibu! Cepat datang sini!” terdengar suara seorang budak lelaki menjerit sambil berlari.

Aku menoleh. Dia ingin menunjukkan sesuatu kepada ibunya.

“Ada TAPAI lah ibu… Besarnya TAPAI tu ibu. Tengoklah tu!” jerit budak itu lagi. Wajahnya penuh keterujaan.

“Haih! Ada pulak TAPAI. Itu TAPIR lah. Malu kat orang eh!” balas si ibu sambil memandang ke kiri dan ke kanan mencari kalau-kalau ada sesiapa yang perasan.

Dari kejauhan, si ibu melihat aku yang sedang bergelak ketawa sambil terguling-guling. Si ibu tersipu malu.

Artikel Lain Untuk Di Baca