KONGSIKAN

Penulis: Ayu Saffron

Oktober 1993. Pukul 9.00 malam.

Aku berbaring di sebelah emak yang sedang menyusukan adik aku yang baru berumur 6 bulan. Aku masa tu umur 5 tahun. Aku berbaring dengan mukaku menghadap dinding.

Aku minum susu botol yang mak bancuh sambil peluk bantal busuk aku yang bau wanginya tiada tandingan.

Rumah aku malam tu sunyi sepi. Abah kerja syif malam. Abang-abang aku macam biasalah. Mentang-mentang anak jantan, merayap pun mak dan abah tak kisah. Aku nak keluar main masak-masak dengan kawan-kawan pun dah kena cubit.

Huuu… itulah nasib seorang anak perempuan sulung.

Sedang aku syok menyonyot botol susu, aku rasa macam ada mata yang memerhati. Mula-mula aku malas nak ambil tahu sebab rasa keenakan susu yang aku sedang minum tiada tandingannya.

Ditambah pula dengan bau bantal busuk aku yang talinya aku gosok-gosokkan ke hidung. Lepas gosok ke hidung, aku gosokkan pula ke mata dan telinga sampai terpejam-pejam mata aku.

Fuh, nikmat dunia beb!

Tapi, makin lama makin terganggu feeling aku.

Ish, tak boleh jadi ni!

Aku buka mata dan terus membuang pandangan tajam ke kanan – ke arah tingkap kaca rumah.

Nah, bertuah kau.

Tadaaa!

Aku nampak satu lembaga sedang berdiri di luar tingkap rumah, dengan kedua-dua belah tangannya memegang cermin tingkap. Lembaga tersebut kelihatannya sedang merenung tajam ke arah aku dan mak yang sedang baring.

Mula-mula aku ingatkan abang aku. Ya lah, sebab abang aku pun boleh tahan perangai syaiton – suka menyakat aku.

Aku pun terus mengadu dekat mak aku.

“Mak, tengok tu! Apa benda putih-putih dekat tingkap tu?” Mak yang baru nak terlelap terus menoleh ke belakang, ke arah tingkap yang aku maksudkan.

“Stoking sekolah abang tu. Mak sidai tadi,” mak aku menjawab ringkas sambil mata nak sambung lelap semula.

Pulak dah.

Aku tenung ampaian kecil tepi tingkap tu. Stoking abang tu punyalah kecil saiznya mak boleh nampak, takkan lah yang gedabak dekat tingkap tu mak tak nampak pula?

Aku tak nak kalah. Aku tanya lagi sekali.

“Bukan stoking tu. Bukan yang dekat ampaian. Yang kat luar tingkap tu,” mak aku menoleh lagi. Kali ini, renungan mak lagi lama dari tadi.

Aku puas hati mak ambil kisah soalan aku kali ini.

“Mana ada apa-apa kat luar. Cahaya lampu orang lalu-lalang kat luar kot.”

Ya. Jawapan mak tetap menghampakan aku.

Aku beranikan diri pandang lembaga tersebut.

Macam mana mak boleh tak nampak?

Rambut hitam panjang, baju putih, tangan pun putih sama warna dengan baju. Muka pun putih sama warna dengan tangan. Tiga bulatan dekat mata dan mulut je warna hitam.

Kali ni aku tekad. Aku kena tanya mak betul-betul.

“Bukan cahaya lampu. Orang berdiri luar tingkap tu tengok Ayu. Pakai baju putih. Rambut panjang,” aku bersuara tegas. Aku tak main-main.

Terdengarkan ayat aku yang last tu, mak terus cakap, “Ish, sudah lah tu. Baca ayat Kursi banyak-banyak,” nada suara mak pun aku dengar dah lain.

Nasib baiklah mak aku ni jenis yang suka ajar aku baca doa dan ayat-ayat lazim dari aku mula pandai bercakap lagi. Umur 5 tahun aku dah hafal ayat Kursi. Mak cakap kalau baca ayat Kursi ni semua hantu dengan syaitan akan lari.

Aku baca ayat Kursi sekali.

Aku toleh ke tingkap. Masih ada lagi makhluk tu.

Ya Tuhan.

Aku baca lagi sekali dan aku toleh.

Tiba-tiba, aku rasa dia macam makin tajam tenung aku walaupun mata dia cuma bulatan hitam je. Tak nampak pun biji mata.

Aku mula seram bila dia pandang aku macam tu. Aku pejam mata dan ulang-ulang baca ayat Kursi. Dalam pada aku pejam mata dan baca ayat Kursi ulang-ulang entah berapa kali tu, akhirnya aku terus tertidur.

Bangun tidur esoknya, aku demam seminggu.

 

 

Foto Paparan Utama: BBC