Penulis: Mohd Ridhuan
Rina memeluk bantal busuk sambil tangannya meliar mencari selimut. Suhu sekeliling biliknya terasa sungguh dingin. Mana tidaknya, hujan lebat tengah malam itu. Angin pula memukul garang tingkap biliknya. Berdentum-dentum guruh di langit menyanyi. Belum ada tanda-tanda untuk ia berhenti. Rina tersenyum sambil menarik selimutnya ke arah leher. Dia sungguh menikmati setiap detik malam tu. Bukan setiap hari suasana sebegitu akan datang.
Posisi badannya ditukarkan mengiring. Kelopak matanya dirapatkan dengan tenang. Belum sempat Rina memasuki alam fantasinya, tiba-tiba beberapa titisan air jatuh ke pipi gebunya. Dahinya dikerutkan. Dia mengelap dengan tangan kemudian Rina menukar posisinya ke arah kiri. Kali ini dia berharap agar mimpi indahnya tidak lagi diganggu. Pun begitu, titisan air tadi tetap singgah di pipinya.
“Siling bilik ni bocor ke? Ugh!”
Dengan malas dan kecewa, Rina bangun dan duduk di atas katilnya. Rambutnya yang serabai digaru-garu. Tangannya mencapai telefon bimbit lalu memerhatikan jam digital yang terpapar di skrin.
3.07 A.M.
Hatinya menyumpah seranah kerana perkara remeh sebegini tidak perlu terjadi. Rina membuka flashlight di telefon bimbitnya lalu menyuluh ke arah siling biliknya. Matanya yang separuh terbuka tiba-tiba sahaja terjegil. Hampir tersembul keluar. Telefonnya jatuh ke riba. Rina tergamam. Badannya seakan batu. Titisan air yang disangkakan air hujan tadi rupa-rupanya datangnya dari satu susuk tubuh perempuan yang melekat di siling biliknya. Mukanya hangus, matanya dipenuhi ulat-ulat sampah dengan lidahnya terjelir menitiskan darah yang berwarna merah pekat.
Follow Telegram Ridcreep
Photo by Simson Petrol on Unsplash