Penulis: Norsamila Samsudin
Sewaktu aku duduk di hadapan rumah, menyiram bunga yang tak berbunga, hanya hijau daun yang banyak merencana, aku disapa, “Kakak, karpet mahu?”
Aku hanya menggeleng.
Dia berlalu.
Esoknya ketika aku ke kedai. Lalu pula dia di hadapan pintu rumah-rumah teres. Di situ, dengan basikalnya, sedang menyapa seorang wanita yang menjemur baju.
“Kakak, karpet mahu?”
Wanita itu memandang sekilas, lalu menggeleng.
“Boleh hutang kakak…”
Geleng lagi.
Basikal dengan penumpang karpet itu disorong pergi.
“Kakak, karpet mahu?”
“Dah banyak, tak mahu!” jerit satu suara dari dalam rumah. Bayang pemilik suara tidak langsung menjengah.
Basikal disorong lagi. “Kakak, karpet mahu?”
Pertanyaan itu diulang, setiap hari, setiap kali berhenti di hadapan pagar rumah orang. Kadang-kala menyapa sesiapa jua di jalan. Panas lit-lit bukan halangan. Mata dikecilkan apabila sinaran mentari menyuluh terus ke dalam mata.
Berjalan dan terus berjalan. Menyapa dan terus menyapa. Bertanya dan terus bertanya, soalan yang sama dalam pelat Pakistan.
Basikal disorong tanpa jemu, itu enam bulan yang lalu. Kini dia sudah bermotorsikal, “Kakak, karpet mahu?”
Diteruskan lagi perjalanan.
“Kakak, karpet mahu?”
Begitu rencam hidup dia. Soalan yang sama. Diulang-ulang. Tiada perubahan. Cuma bila tahun berlalu, apabila aku bertembung lagi dengan dia, sudah ada perbezaan. Tiada basikal, tiada motorsikal tetapi sebuah van yang penuh karpet di dalamnya.
“Kakak, karpet mahu?”