Penulis: Syuq Tone
Aku sambut mangkuk berisi kuah sup. Mangkuk putih itu terasa hangat di tapak tangan. Tiada isi ayam, hanya kuah sup dan beberapa helai daun hijau di dalamnya. Perlahan-lahan aku hirup dari bibir mangkuk, rasa nyaman dan hangat mula meresapi tubuhku. Beberapa hirupan hingga akhirnya mangkuk itu kembali licin tidak bersisa. Aku kembalikan semula mangkuk putih kepada tuannya. Senyuman tanda terima kasih aku hadiahkan. Semoga Tuhan membalas jasanya.
Perjalanan hari ini agak sukar, hujan turun tanpa henti sejak dari pagi lagi. Mahu berteduh di bawah pondok si penjual sup namun aku fikir agak kurang sopan. Takut-takut mengganggu para pelanggannya yang asyik menikmati sup ayam bersama secawan teh panas. Badanku yang hamis pasti membuatkan mereka berasa tidak selesa. Lebih baik aku teruskan saja mengesot di kaki lima sambil membiarkan tubuhku disirami nikmat Tuhan. Mungkin ianya hikmah yang baik, sedikit sebanyak dapat membasuh debu-debu di badanku.
“Supardi! Supardi!”
Kedengaran seseorang memanggil aku dari arah jalan yang bertentangan. Aku lihat dalam kesamaran titisan hujan, Gadut kelihatan mengangkat tangan dan menari-nari dalam hujan di seberang jalan. Riang sungguh Si Gadut, sambil aku tersenyum melihatnya.
Gadut berjubah biru tua, berjanggut putih tanpa sepatu masih menari-nari dalam hujan yang agak lebat. Si Gadut melambai-lambai ke arahku seolah-olah meminta aku ke tempatnya. Aku hanya menggelengkan kepala dan meneruskan mengesot untuk mencari tempat berteduh.
Bang!
Kedengaran bunyi aneh disertai jeritan yang agak kuat dari seberang jalan.
**********************************************************
Hari ini seperti biasa aku memanaskan badan dengan sup ihsan pemberian peniaga jalanan. Walaupun kosong sahaja namun cukup nikmat untuk merasa aroma ayam di dalamnya. Hari ini tiada hujan namun agak sunyi bagiku.
Tiada lagi Si Tua Gadut membaca kisah para sahabat nabi dengan kuat di jalanan serta memberi penerangan tentang hukum alam.
Tiada lagi hiburan percuma tarian dan nyanyian hujannya.
Aku fikir sebaiknya aku mengikuti jejak Si Gadut. Biarpun serba kekurangan, namun sedikit sebanyak memberi manfaat buat orang lain.
Foto Paparan Utama: The Clickin Moms Blog