KONGSIKAN

Kalau beginilah caranya, sampai ke tua pun dia sanggup untuk tidak ke mana-mana. Melihat ibunya yang tiba-tiba jatuh sakit sehingga tidak mampu menggerakkan tubuh badan membuatkan Faiz enggan meninggalkan ibunya seorang diri.

“Faiz jangan macam ni. Mak cik kamu kan ada. Dia boleh tengok-tengokkan ibu” berulang kali ibu berkata begitu. Tetapi Faiz tetap dengan pendiriannya.

“Faiz tak sampai hati nak tinggalkan ibu. Ibu perlukan Faiz.” Faiz mengenggam tangan ibunya.

“Ibu takkan ke mana-mana pun. Masih terbaring dekat sini,” ibunya cuba bergurau tetapi gagal untuk mencuit hati Faiz.

“Dah, jangan buat muka macam tu. Tolong ibu ambil wuduk. Dah masuk waktu Zohor ni.” Faiz segera menurut permintaan ibunya.

Seusai solat, sekali lagi Faiz mendekati ibunya yang masih berteleku di atas katil. Mata ibunya terpejam sambil memegang sejadah biru yang dihadiahkan oleh Faiz sewaktu ulang tahun ibunya beberapa tahun yang lepas.

“Ibu…” panggil Faiz lembut.

“Walau apa pun yang terjadi, nama Faiz sentiasa berada di dalam doa ibu”

Takdir menentukan segalanya. Faiz terima seadanya.

“Sejadah biru ini untuk ibu.” bisik Faiz sambil mengusap tangan ibunya yang sudah kaku.