Penulis: Amin Salem
Rumah Pak Hassan tu dah lama ditinggal. Kosong, naik semak kiri kanan. Pendawaian elektrik dalam rumah dah lama hilang, dicabut, dikebas dek penagih dadah. Tempayan dan talam tembaga dalam rumah tu lagi lama dah hilangnya.
Yang tinggal – almari lama yang dah pecah, dikopak, ditendang si penceroboh. Pendek kata tiada apa yang berharga tinggal di dalam.
Belakang rumah, lagilah menakutkan. Perigi tinggal tu dah macam dalam filem hantu Korea, tunggu hantunya sahaja belum merangkak keluar lagi. Kadang-kadang penduduk kampung ternampak si ibu babi membawa anak-anaknya melalui jalan pintas di belakang rumah Pak Hassan.
“Apalah nak jadi dengan rumah si Hassan tu? Sedih aku melihatnya,” Pak Abu mengeluh, memandang jauh.
“Jangan jadi sarang suntik menyuntik sudah,” Pak Jamat berseloroh sambil menghirup teh tariknya yang masih panas.
“Tadi aku nampak si Ana dengan laki dia depan rumah tu. Balik jenguk rumah arwah ayahnya kot,” tambah Awang Kengkang.
Sudah 2 tahun Ana tak balik. Kuala Lumpur jauh. Lagipun setelah kematian Pak Hassan, tiada sesiapa lagi untuknya di Kampung Biong.
Lama Ana berdiri di halaman rumah, air matanya menitis teringatkan kisah lalu. Terlalu banyak kenangan indah dan pahit yang dilaluinya, dan rumah ini menjadi saksi bisu segala bait kisah hidupnya yang panjang; membesar serba kekurangan tetapi penuh kebahagiaan.
Ana kembali dengan semangat baru, ingin meluruskan semula apa yang sudah tersimpul. Rumah ini pasti akan diimarahkan kembali.
Ya, sudah tiba masanya untuk rumah dan tanah ini berpenghuni.
Sudah tiba masanya untuk rumah ini membina memori baru. Tiada lagi jalan pintas untuk si ibu babi. Tiada lagi cakap-cakap kosong yang serong di kedai kopi simpang masuk kampung.
‘Aku akan pastikan rumah ini terjual secepat yang mungkin. Aku akan pastikan!’ Ana telah membuat keputusannya.
Ya, ‘Selamat tinggal kenangan.’ bisik Ana.
Foto Paparan Utama: Deviant Art – Andywong75