CERTOT: Redha

Penulis: Kasyah Sapri

“Fuhh, banyak kerja kita buat hari ini kan, bang?” soal Edin kepada rakan sekerja yang lebih tua daripadanya iaitu Rahmat.

“Ya, bolehlah. Yang ini pun nasib baik Assistant Manager nak cepat, kalau tak mana mahunya aku nak siapkan benda ni.” jawab Rahmat.

Tiba-tiba Rahmat membuka telefon pintarnya yang berjenama Samsung Galaxy Young lalu membuka galeri di dalamnya. Anak mata Edin mencuri pandang apa yang ada dalam galerinya itu. Enak jari Rahmat laju scroll gambar di dalam galeri namun sebentar kemudian tiba-tiba dia menunjukkan satu gambar kuburan berbatu nisan kecil kepada Edin.

“Inilah anak aku.”

Terkejut beruk Edin. “Dia ni gila ke apa?” Bisik hati Edin.

Dengan senyum lebar yang penuh keikhlasan, Rahmat berkata, “Ini kuburan anak aku. Anak pertama aku bersama isteri tersayang.”

Tambah terkejut beruk Edin mendengarnya. “Dia meninggal sebab apa, bang?”

“Doktor cakap jantung dia lemah dan dia sempat hidup selama 5 jam sahaja. Kalau dia masih hidup sampai sekarang, dapatlah aku lihat senyumannya.”

Dushhhhhh! Sayu hati Edin tiba-tiba. Pilu. Hampir juga berair matanya namun sempat dia tahan. “Betapa tabahnya hati abang Rahmat terima dugaan sebesar ini daripada Allah SWT.” bisik Edin di dalam hati.

“Inilah tanda kasih sayang Tuhan kepada hambanya. Allah tarik seseorang yang kita sayang bukan suka-suka. Semuanya bersebab. Tiada yang tidak bersebab bagi Tuhan Pencipta Alam. Jika Allah berkehendak, maka jadilah. Kita sebagai saksi dan hambanya yang menjalani dugaan hidup kena redha dan kuat.” pesan Rahmat kepada Edin dengan riak wajah yang seolah-olah macam tiada apa yang berlaku.

“Dahlah, sekarang kerja sudah habis. Jom kita balik.” ajak Rahmat.

Mereka pun pulang berjalan kaki dalam hujan yang gerimisnya tidak mengundang.

* Anda mahu tulisan anda disiarkan untuk bacaan umum di portal I AM LEJEN? Emelkan tulisan anda ke [email protected] Karya yang layak akan disiarkan berserta kredit kepada penulis.

Artikel Lain Untuk Di Baca