KONGSIKAN

Penulis: Pak Badrul

Hari itu ada mesyuarat di pejabat . Seperti selalunya akan ada satu sesi perkongsian ilmu sebelum mesyuarat bermula. Bos selaku pengerusi mesyuarat bertanya siapa antara kami yang sukarela mahu berkongsi sesuatu.

Aku tanpa segan-silu menawarkan diri. “Biar saya bos… ‘Bagaimana menulis laporan dalam masa seminit’… Itulah tajuknya.” Kata aku penuh yakin.

Ahli mesyuarat yang lain semuanya teruja hendak tahu bagaimana mahu menulis laporan secepat itu. Aku pun tanpa berlengah lagi bangun ke papan tulis dan mula menulis.

‘L.A.P.O.R.A.N’

“Hah… Dah siap pun. Tak sampai seminit pun kan?”

Aku lihat reaksi mereka pelbagai. Ada yang blur. Ada yang ketawa. Ada yang malu-malu hendak gelak. Ada juga yang asyik membaca WhatsApp di smartphone tanpa mempedulikan ilmu yang aku kongsikan. Malah ada juga yang bertepuk tangan gembira. Bos pula semacam tidak menunjukkan apa-apa pun perasaan. Bengang agaknya. Akan tetapi, dari pandangan matanya, dia seolah-olah sedang memberitahu aku supaya segera mengambil cuti dan kembali bekerja semula selepas tiga bulan apabila otak aku benar-benar pulih.

Selepas beberapa ketika, bos memulakan mesyuarat dan bos juga telah melantik aku sebagai pencatat minit mesyuarat pada hari itu.

Foto Paparan Utama: The Faking News