CERTOT: Penumpang Malam

Penulis: Ayu Saffron

Aku menguap menahan rasa mengantuk. Pedal minyak kutekan lebih kuat supaya lebih cepat aku sampai ke rumah. Jam di dashboard kereta kukerling sekilas. 10 minit lagi akan menginjak ke pukul 1 pagi. Macam inilah nasib aku bila syarikat hendak masuk tender. Memang jam-jam macam inilah selalunya aku dan rakan sepejabat pulang ke rumah.

Sampai di satu selekoh, aku membelok ke kiri. Dua minit kemudian, aku hentikan kereta aku di tepi jalan. Dalam 30 saat selepas itu, aku meneruskan kembali perjalanan aku untuk pulang ke rumah. Kupandang sekilas cermin pandang belakang kereta dengan pandangan kosong.

Sampai di rumah, seusai aku mandi dan solat , satu demi satu ingatan aku sepanjang perjalanan pulang tadi menjelma kembali. Dari saat aku membelok di selekoh, hentikan kereta, teruskan perjalanan, papan tanda tepi jalan, sehingga ke wajah kakak cantik yang kukerling dari cermin pandang belakang.

Aku mula berpeluh dingin. Ahh kacau. Macam mana aku boleh tak sedar yang aku sebenarnya singgah di kubur angker Sungai Kantan tadi? Dan tiba-tiba juga aku teringat cerita lagenda kes pembunuhan satu masa dulu yang pembunuhnya dihukum gantung dan dikebumikan di situ. Kakak cantik tadi? Mungkinkah?

Dan seperti yang aku jangka, memang bangun tidur esoknya aku terus demam seminggu.

 

Artikel Lain Untuk Di Baca