CERTOT: Penangan Patung

Penulis: Pak Badrul

Abu gemar bermain dengan patung figura aksi. Setiap kali dia keluar bersiar-siar di shopping complex, pasti ada sahaja patung figura aksi yang dibelinya. Bilik tidurnya di rumah kini sudah seperti gudang simpanan yang penuh dengan pelbagai watak patung.

Abu paling suka patung Ultraman. Ada berpuluh-puluh spesis patung Ultraman pelbagai saiz ada dalam koleksinya. Bukan setakat itu, patung raksasa pun turut dikumpulnya. Hampir setiap hari rumahnya tidak akan sunyi dengan sound effect dia bermain patung Ultraman melawan raksasa. Sekejap-sekejap bunyi raksasa mengamuk. Selepas kemudian bunyi bangunan runtuh pula. Bunyi letupan, bunyi Ultraman terbang, bunyi Ultraman sedang menembak laser, bunyi orang awam menjerit meminta tolong, bunyi ambulans dan macam-macam bunyi lagi. Sesekali terdengar bunyi tut tut lampu di dada yang menandakan Ultraman sudah tinggal nyawa-nyawa ikan. Memang leka si Abu ini kalau bermain patung-patung Ultramannya.

“Sudah-sudah la tu. Hari-hari main Ultraman je. Makan tidak, mandi tidak. Asyik mengadap menda tu je.” rungut Makcik Siti Nordiana. Bengang dia dengan perangai si Abu.

“Alaa, rileks lah. Orang tengah syok ni. Janganlah kacau. Nanti kalau dah lapar pandailah orang berenti gi makan. Mandi tu karang-karang boleh mandi.” balas Abu acuh tak acuh.

“Bulan depan si Mira anak kita tu dah nak masuk universiti dah bang oi!” jerit Makcik Siti Nordiana sambil seketul senduk tepat hinggap di belakang kepala suaminya, Abu.

Artikel Lain Untuk Di Baca