Penulis: Zafirah Zapri
“Stesen berikutnya, Kampung Baru. Next station, Kampung Baru.”
Suara operator itu memecah kesunyian malam dalam gerabak LRT yang hanya mempunyai tiga orang penumpang itu. Hafiz menjeling sekilas sepasang lelaki dan perempuan muda yang sedang duduk berhadapan dengannya. Mereka berdua berpegangan tangan dan asyik tunduk saja sejak dari tadi. Pemakaian mereka pula retro habis; macam zaman mak dan abahnya berdating dulu-dulu.
Namun Hafiz yang mengamalkan sikap ‘mind your own business‘ itu tidak mahu mengambil pusing dan cuba melelapkan mata buat seketika. Dia berasa letih dan mengantuk. Jika disorongkan bantal mungkin dia akan terus dibuai mimpi. Ada 11 stesen lagi untuk dia sampai ke stesen LRT yang berdekatan dengan rumah sewanya.
Hari ini dia pulang lewat daripada hari biasa kerana stay back di ofis bagi menyelesaikan beberapa kerja yang belum sempat disiapkan. Jam di tangannya menunjukkan pukul 10 malam. Tidak ramai penumpang LRT pada malam ini. Lengang saja. Kalau pada waktu kemuncak seperti jam lapan pagi atau lima petang ke atas, gerabak ini tak ubah seperti sebuah tin yang ada 11 ekor ikan sardin di dalamnya.
Pintu LRT automatik terbuka. Tiada penumpang yang keluar masuk. Kemudian pintu ditutup semula dan LRT mula bergerak menyusuri terowong bawah tanah yang dipercayai terletak 40 meter di bawah sebuah tanah perkuburan Islam.
“Stesen berikutnya, Dang Wangi. Next station, Dang Wangi.”
Pengumuman itu mengejutkan Hafiz yang enak bermimpikan Hannah Delisha nyaris bersetuju menjadi aweknya. Perlahan-lahan pasangan di hadapan Hafiz itu bangun ketika LRT semakin menghampiri stesen.
Belum sempat pun pintu terbuka, mereka berdua berjalan menembusi pintu itu lalu meninggalkan Hafiz yang terlopong tidak percaya menyaksikan apa yang dilihat kedua matanya.
* Anda mahu tulisan anda disiarkan untuk bacaan umum di portal I AM LEJEN? Emelkan tulisan anda ke [email protected]. Karya yang layak akan disiarkan berserta kredit kepada penulis.