CERTOT: Misteri Gambar Tak Lekat

Penulis: Amin Salem

Aku dan Zaini memasuki Petilasan Raden Wijaya. Suasananya suram dan tertutup rapi yang berbau dupa setanggi kuat hingga menusuk hidung. Petilasan adalah tempat singgah raja Majapahit, lokasi bersejarah. Dibina pondok kecil di atas tapaknya. Di dalamnya, ada 2 kaki payung dan beberapa sembahan berupa makanan. Di sebelah kiri ada potret Raden Wijaya.

Aku mula mengambil gambar satu demi satu. Zaini sudah mulai resah, aku juga. Tempat ini terlalu mistik dengan baunya yang mengkhayalkan. Cepat-cepat kami keluar, sambil menepuk dada.

‘Fuh lega,’ bisik aku dalam hati.

“Kau OK ke?” aku bertanya kepada Zaini.

“Ok. Aku Ok!” tapi muka pucat lesi.

Jurukunci berbangsa Jawa datang menghampiri kami dan menceritakan kisah-kisah mistik pohon beringin besar yang memayungi pondok petilasan itu.

Aku terdetik mahu bertanyakan sesuatu kepadanya, lalu aku capai telefon bimbit dan membuka galeri foto.

“Ah! Satu gambar pun tak ada! Tak lekat semuanya!” Aku dan Zaini saling berpandangan. Dahi jurukunci turut berkerut.

“Ajaib ini, pantang larang apa kamu udah langgar?” bilang pak jurukunci.

Kami bersalaman lalu meninggalkan petilasan mistik itu. Sepanjang perjalanan, hati berdebar-debar. Mulut terkunci, tiada suara. Aku kurang selesa, lalu mengeluarkan kamera, membidik sasaran lalu memicik picu memotret pemandangan indah di luar kereta.

Aku periksa semula gambar yang baru diambil dalam galeri foto.

“Cis! Gambar petilasan tu semua dalam kamera, bukan dalam telefon bimbit!” berderai aku ketawa. Kuat sekali, seolah-olah bukan aku yang kena.

Suasana kereta kembali bermaya. Muka pucat lesi tadi menjadi kemerah-merahan, darah mula mengalir kembali. Bait-bait ‘menganjing’ mula berkumandang. Sepanjang hari aku menjadi bahan hiburan Zaini dan Ali.

Begitulah kisahnya misteri gambar tak lekat.

Artikel Lain Untuk Di Baca