Penulis: Pak Badrul
Petang itu, Meon bersiar-siar di taman bersama teman baharunya, Mia. Meon memerhati pada kanak-kanak yang sedang melompat riang sambil meniup belon buih. Ada juga yang leka bermain kejar-mengejar. Sekumpulan gadis remaja kelihatan asyik berswafoto dengan pelbagai gaya yang menghiburkan. Bunyi hilai tawa memeriahkan suasana. Mia tersenyum. Meon di sebelah turut sama tersenyum malu-malu kucing. Mereka berehat seketika di bangku taman dan mula berbual-bual mengenali antara satu sama lain.
Semakin lama berbual semakin rapat pula jarak antara mereka. Perlahan-lahan dan akhirnya mereka duduk bersebelahan. Meon cuba menyentuhkan jarinya ke jari Mia. Mia pula seperti malu tapi mahu. Tidak semena-mena, datang segelembung buih yang besar dari arah belakang Meon. Mia terperanjat. Belum pun sempat Mia memberikan amaran, entah bagaimana Meon telah terperangkap dalam buih gergasi itu. Buih itu terus terapung ke udara bersama Meon di dalamnya. Semakin lama semakin meninggi. Mia cuba menggapai tapi tidak terjangkau oleh tangannya. Mia menjerit meminta tolong. Suasana mula panik.
Tiba-tiba, buih yang terapung itu pecah dan Meon terus jatuh terduduk di atas padang. Meon merintih kesakitan sambil mengusap punggungnya. Pengunjung yang menyaksikan mereka mula mengerumuni. Mia bergegas mendapatkan Meon. Meon bangun perlahan-lahan dan menunjukkan isyarat dia tidak apa-apa. Pengunjung semuanya berasa lega dan mula bersurai. Masing-masing pelik dengan kejadian tadi. Meon dan Mia turut terpinga-pinga dengan apa yang berlaku.
Meon segera mengajak Mia pergi dari situ. Semasa hendak beredar, Meon terdengar satu bisikan suara halus.
“Lain kali jangan cuba-cuba pegang tangan perempuan bukan muhrim. Nasib baik badan kau berat tadi. Ingat… jangan buat maksiat lagi lepas ni! Kih! Kih! Kih!”
Peluh jantan mula mengalir di dahi Meon. Suara siapa pula tu. Gumam hati kecilnya.