Penulis: Ayu Saffron
“Awak, saya minta maaf. Hubungan kita tak boleh diteruskan,” untuk yang ke sekian kalinya aku tuturkan ayat ini. Pedih.
Dia di hadapanku tertunduk sedih. Namun masih diam membisu. Wajahnya yang cerah bercahaya, malam ini kelihatan suram, namun cuba diriakkan supaya ternampak tenang. Namun aku tahu gelodak di dalam hatinya. Sama berombak sayu seperti hatiku.
Cincin emas antik berbatu permata yang aku pulangkan ke telapak tangannya, dia genggam erat. Hingga kelihatan urat-urat kekar di belakang tapak tangannya. Kami sama-sama terdiam selepas itu.
Aku tatap wajahnya lama. Sebagai kenangan dan bekalan untuk hari esok. Kerana aku yakin selepas ini kami takkan bertemu lagi.
Bunyi kokokkan ayam memecah hening sunyi. Sebentar lagi fajar akan menyinsing. Dan kami tahu sudah tiba masanya kami berpisah. Aku sentuh tangannya. Kusalam dan kucium lembut dalam perasaan sebak yang mula membuak-buak. Saat dia mencuit dagu dan mencium dahiku, aku terasa hangat air matanya jatuh menimpa keningku.
“Selamat tinggal kekasihku,” lirih suaranya menyapa telingaku. Dia bangun perlahan-lahan lalu berjalan pergi membelakangiku. Sosok tubuhnya dalam persalinan kuning keemasan lama-kelamaan hilang dalam pekat malam yang bakal tiba ke penghujungnya.
“Selamat jalan puteraku,” bisikku perlahan dalam sedu-sedan yang makin menggila. Air mata yang makin berjuraian aku seka dengan selendangku.
Aku membuka mata sejurus azan Subuh berkumandang di udara. Esakanku masih berbaki. Bantal dan selimutku basah dek air mata.
Inilah mimpi paling sedih semenjak 40 malam si dia menemani lenaku sejak aku pulang dari mendaki Gunung Tahan dahulu.