CERTOT: Kalah Menang

Penulis: Norsamila Samsudin

Masih berkira-kira ingin menghentikan tulisan tetapi saat itu juga syaitan datang, duduk di sebelah dia, di kiri dan kanan meja. Berbisik dengan penuh sopan dan sangat-sangat mesra, seolah-olah seorang kawan lama yang pernah berkongsi bantal, minum satu cawan, yang pernah ‘membawang’ tentang seseorang, yang tahu siapa crush, siapa yang dia selalu stalk pada zaman belajar dahulu.

“Ah, memang setan betul!” Pen di tangan, jadi mangsa. Dihempas ke meja. Tubuh dipaksa bangun lalu terus menuju ke bilik air. Dia menang. Syaitan kalah. Wuduk diambil dengan tertib walaupun hati puas berdetik, akal membisik.

Doa wuduk dibaca. Dia masih sedar walau di kiri kanan syaitan masih bersemayam tanpa kerajaan. Menggoda, berbisik dengan penuh asyik. Membelai jiwa dan meracun minda.

“Pergilah setan.” Dia marah. Hatinya mula mendidih. Kemudian, terdengar istighfar dari sepasang bibir sebelum takbir dialunkan.

Berlari.

Berlari.

Masuk ke hutan tebal. Bayangkan hutan yang sangat tebal. Ada pokok besar. Bayangkan kebesaran pokok-pokok itu. Pokok apa? Tak apa. Nanti kau cari dalam laman sesawang. Mungkin meranti, merbah. Eh, tunggu. Kau nak tulis latar tempatnya di mana? Kau kena pastikan fakta. Tidak semua hutan ada jenis-jenis pokok itu.

Abaikan.

Dia rukuk, kemudian sujud.

Berlari lagi. Bayangkan, ada bagaimana rupa tanah di dalam hutan itu. Ada banyak akar yang mengganggu atau tidak, semasa kau berlari? Bentuk akar yang bagaimana? Besar atau kecil? Berselirat macam tali atau yang berbanir besar, yang memaksa kau untuk melompat melepasinya? Bayangkan.

Dia duduk di antara dua sujud.

Warna daun apa? Hijau gelap atau sudah bertukar hitam? Betul kau nampak warna daun itu dengan jelas? Perlu atau tidak, kau membayangkannya? Sedangkan, kau sedang berlari laju dan ketakutan. Ah, bentuk daunnya daripada jenis apa pula? Tak apa. Kau lari sahaja.

Bayangkan di depan kau makhluk itu sudah menunggu. Eh, bukan. Tukar jadi tebing tinggi. Kau terpaksa buat keputusan. Lawan atau terjun. Bayangkan jenis tebing itu. Setinggi mana tebing itu. Di bawah tebing itu, ada apa. Berapa jarak kau dengan makhluk itu.

Kembali berdiri.

Rukuk.

Sujud.

Sudah berapa rakaat?

“Ah, setan!” Lupa sudah dia berada di rakaat ke berapa. Leka dengan bayangan yang syaitan bisikkan. Yang mencuri pusat tumpuan. Memang setan!

Berhenti atau teruskan?

“Teruskan.”

“Diamlah setan!”

Syaitan ketawa, gembira. Kau kalah. Aku menang.

“Pergi atau…”

Syaitan ketawa lagi. Kali ini menekan perut. Geli hati. Anak Adam tewas dengan permainan fikiran. Gagal memberi fokus terhadap apa yang sedang dilakukan. Gagal memusat fikiran walaupun sedang berdepan dengan Tuhan.

“Kau kalah. Fokus kau berterabur.”

“Aku mampu fokus dalam penulisan. Aku berada di dalamnya.”

“Tapi kau tak mampu fokus dalam solat. Kau tidak berada di dalam solat.”

“Kau memang setan. Kau penyebab!”

Ditinggalkan solat untuk memperbaharui wuduk. Kali ini, dia tidak akan kalah lagi dengan syaitan. Dia perlu fokus dalam solat. Dia perlu kalahkan syaitan.

Syaitan ketawa. Dia menanti game seterusnya. Masih tidak berganjak. Menunggu anak Adam bersolat. Dia tidak akan dan tidak pernah putus asa untuk bersama anak Adam dalam perlawanan kalah menang.

* Anda mahu tulisan anda disiarkan untuk bacaan umum di portal I AM LEJEN? Emelkan tulisan anda ke [email protected] Karya yang layak akan disiarkan berserta kredit kepada penulis.

Artikel Lain Untuk Di Baca