CERTOT: Di Daerah Itu

Penulis: Norsamila Samsudin

SEGALANYA tampak putih! Bukan kosong. Tetapi hanya putih. Tiada dinding. Tiada lantai. Tiada bumbung. Aku berjalan di satu daerah yang hanya ada putih! Tiada apa melainkan warna putih kecuali aku. Aku yang berseluar denim biru dan bert-shirt putih!

Pening! Pening dengan segala keputihan. Tiada apa di hadapan. Tiada arah. Tiada panduan. Tiada tujuan. Tetapi aku terus melangkah. Aku mencari sesuatu. Apa?

Jalan.

Mungkin.

Aku tak tahu apa yang aku cari.

Aku hanya mencari.

Terus mencari.

Berjalan.

Terus berjalan.

Sehingga aku lelah. Sehingga aku mengah. Ya Allah, di daerah apakah ini? Daerah pekum yang kosong. Daerah putih yang kosong. Daerah sesat lagi menyesatkan. Daerah yang aku ingin keluar darinya. Tiada apa di sini.

“Apa yang kau cari manusia?” suara putih itu bertanya. Aku tak nampak. Sebab ia putih.

“A… aku mencari jalan.”

“Mahu ke mana kau sebenarnya?”

“Ke mana sahaja asalkan keluar dari daerah ini.”

“Daerah ini sangat tenang. Daerah ini sangat damai. Kau hanya perlu hidup tanpa memikir. Kau hanya perlu menghayati tanpa terbeban dengan ujian. Tanpa kebisingan dan porak peranda dunia. Manusia suka akan kesenangan, ketenangan dan kerehatan. Tidak perlu bekerja, berfikir, berkawan atau berlawan. Inilah daerahnya.”

“Tak! Tak! Bukan daerah ini yang aku nak. Aku nak keluar dari sini.”

“Kau pasti?”

“Ya… ya… aku tak boleh hidup seorang. Aku tak boleh jika tidak berfikir.”

Usai berkata, dimensi putih itu bubar. Aku tersenyum lebar, sebelum aku dikejar dengan suara berbentuk aksara yang berduyun jumlahnya. Kalut aku berlari.

“Kenapa kau berlari, manusia?”

“Aku dikejar oleh aksara.”

“Bukankah, kau suka? Kau boleh berfikir untuk atur ia. Kau punya kerja, punya kreativiti dan tidak hanya terungkup dalam keputihan dan kekosongan.”

“Terlalu banyak. Aku tak mampu.”

“Lalu, apa yang kau inginkan?”

“Aku ingin sesuatu yang sudah diatur supaya aku boleh mengikut alirannya, aturannya.”

“Adakah kau benar-benar pasti dengan keinginanmu yang satu ini?”

“Ya, aku pasti.”

Aksara yang berlari terus terhenti. Tersusun dengan cantik sekali. Ada arahan kerja yang perlu dipatuhi. A di hujung, Z di tengah, O di awalan.

‘Tak betul. Tidak seperti yang aku belajar di sekolah dulu.’ bisik hatiku. Tetapi aku takut untuk suarakan semua itu. Ia hanya tersekat di kerongkongku.

“Apa lagi manusia?”

“Susunan aksara itu tidak betul. Aku tidak boleh bekerja dengan arahan yang tidak betul.”

“Semuanya tidak kena di matamu. Adakah kau ingin jadi seseorang yang mentadbir alam? Membuat sesuka lakumu?”

“Aku hanya menyuarakan apa yang tidak kena. Aku berhak untuk bersuara.”

“Apa yang berlaku adalah apa yang kau pilih. Berfikir sebelum kau memilih. Berfikir sebelum kau bersuara. Setiap tindakanmu melambangkan dirimu yang sentiasa inginkan sesuatu yang kau sendiri tidak tahu.”

Segala yang putih tiba-tiba bertukar hitam. Aku sedang terpejam. Aku takut untuk buka mata. Aku takut jika aku sudah berada di daerah bernama pusara. Kerana sebelum daerah putih yang kosong itu hilang, itu yang melintas di fikiran. Aku akan dapat apa yang aku nak. Tetapi sekarang aku takut.

Aku ingin tarik balik apa yang melintas di fikiran. Aku belum bersedia untuk mati. Aku ingin hidup. Aku ingin bersyukur dengan apa yang dikurniakan. Aku tidak mahu meminta lagi. Aku tak mahu bersuara lagi. Aku berjanji. Aku akan pastikan pusat tumpuku pada usaha, bukan kata-kata yang sia-sia.

Tolong. Tolong jangan biarkan aku pergi.

* Anda mahu tulisan anda disiarkan untuk bacaan umum di portal I AM LEJEN? Emelkan tulisan anda ke [email protected] Karya yang layak akan disiarkan berserta kredit kepada penulis.

Artikel Lain Untuk Di Baca