Search
Close this search box.

CERTOT: Buta Tanpa Sengaja

Penulis: Anis Akhir

Hidup Natrah tidak stabil buat masa ini. Selepas dia dibuang kerja atas alasan yang amat tidak munasabah kini Natrah didatangi sekumpulan pelajar yang ingin menjadikan dirinya sebuah objek uji kaji sains. Dengan ganjaran yang amat lumayan mana mungkin Natrah menolak mentah-mentah usul itu.

“Akak tak perlu buat apa-apa pun. Kami cuma beri tempoh tiga minggu untuk melihat kesan daripada uji kaji kami. Seperti yang diberitahu tadi, kami akan serahkan RM1,500 sebagai upah pendahuluan. Selebihnya akan kami serahkan selepas tempoh tiga minggu. Macam mana kak?” salah seorang daripada mereka sekali lagi bersuara.

Natrah pantas mengangguk tanda setuju. Dia tidak mahu melepaskan peluang ini. Selepas selesai sesi rundingan tadi, sekumpulan pelajar itu segera memasukkan sesuatu ke dalam mata Natrah. Kata mereka, kanta lekap berinovasi tinggi itu mampu memberikan satu kesan hebat kepada pemakainya. Jadi, untuk membuktikan keberkesanannya, mereka menjadikan Natrah sebagai mangsa pertama.

Minggu pertama, hidup Natrah biasa saja. Dia tetap tidak mempunyai kerja. Sisa RM1,500 upah uji kaji masih ada namun semakin berkurang.

Minggu kedua, Natrah mula merasai perubahan. Bukan dari segi keajaiban yang mana dia mampu melihat masa depan tetapi matanya menjadi bengkak dan berair. Sempat Natrah menghubungi pelajar tempoh hari tetapi gagal. Natrah sudah tidak tahan menahan pedih. Dia lantas ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Maaf Cik Natrah. Mata cik sudah dijangkiti kuman dan keadaan ini sangatlah serius” ujar doktor beretnik India itu.

Natrah mengeluh. Dia sekali lagi menghubungi pelajar yang telah menyebabkan matanya hampir menjadi buta. Namun, tetap gagal.

Minggu ketiga, sekumpulan pelajar itu berjaya dihubungi oleh Natrah.

“Maaf kak. Kami tak dapat nak berikan duit selebihnya kepada akak kerana akak tidak berjaya dalam uji kaji ini,” ujar mereka lalu segera pergi meninggalkan Natrah yang sudah kebingungan.

Natrah terdiam. Dia sudah tidak punya apa-apa melainkan diri sendiri yang sudah cacat penglihatan. Tiada kerja dan tiada wang. RM1,500 sudah habis digunakan untuk rawatan matanya.

Artikel Lain Untuk Di Baca