Penulis: Anis Akhir
Pulangnya Ayu ke kampung ini bukanlah kerana dendam tetapi rindu yang tersimpan. Sungguh dia terlalu rindu. Walaupun hampir 7 tahun Opah pergi, ternyata rindu itu masih di hati.
Ya, rumah ini. Rumah kayu yang sudah tidak beratap lagi. Ribut membawanya pergi entah ke mana. Perlahan-lahan kaki Ayu melangkah sambil memejamkan mata. Mengenang setiap detik semasa dia tinggal di dalam rumah itu bersama opah.
“Opah, apa yang busuk sangat ni? Ayu nak termuntah lah,” rengek anak kecil itu.
“Kalau Ayu nak tahu, inilah proses nak buat bedak sejuk yang Ayu selalu pakai malam-malam tu,” terang Opah yang masih sibuk membuat bedak sejuk.
“Tapi yang tu wangi je bau. Bau bunga melur.”
“Mestilah wangi sebab yang itu sudah siap diproses.” lembut Opah melayan karenah Ayu.
Itulah suara Opah yang sentiasa tersimpan di dalam minda. Ayu kembali membuka matanya bersama air mata.