CERTOT: Bayangan

Penulis: Aimi Husna

Malam itu, hanya aku dan ibu sahaja yang tinggal di rumah. Ayah berada di luar kawasan atas urusan kerja. Aku merenung ke luar jendela. Hujan lebat yang turun masih belum ada tanda mahu berhenti. Sesekali kilat sabung-menyabung dan guruh berdentum. Ibu pula berada di dapur mengemas apa yang perlu.

Tiba-tiba, terdengar bunyi jeritan ibu. Aku segera mendapatkan ibuku dan aku terkejut melihat dia memegang sebilah pisau. Tubuhnya menggigil. Matanya merah seakan orang yang sedang berdendam dan kemarahan. Ibu seperti dirasuk. Dia mendekatiku. Aku cuba menjerit namun suaraku tidak terkeluar dari kerongkongku. Tidak semena-mena, ibuku  kembali tersedar. Dia kelihatan sangat letih dan bingung.

“Ya Allah… Apa yang terjadi ni?” terdengar suara resah ibu bertanya kepada dirinya sendiri.

Tanpa mempedulikanku, ibu terus baring di sofa ruang tamu. Segelas air kosong di meja sisi diteguknya. Ibu menelefon ayah dan menceritakan apa yang telah berlaku tadi. Tidak  lama kemudian, ibu terlena. Aku hanya duduk menemaninya di hujung sofa.

Keesokan hari ayah pulang ke rumah. Ayah membatalkan urusan kerja kerana risaukan ibu. Selepas memasuki rumah, ayah terus bergegas ke arah ibu.

“Apa yang berlaku malam tadi?” tanya ayah pada ibu. Tanpa menjawab, ibu terus memeluk erat ayahku. Ibu kemudiannya memberitahu ayah yang dia terkena gangguan dan ternampak seperti bayangan anak kecil semalam. Aku musykil. Gangguan? Bayangan anak kecil? Wajah ayah berubah dan ayah seperti tahu apa yang dimaksudkan ibuku.

“Sayang, awak teringat pada peristiwa tu ke? Awak nampak anak kita ke?” Ayah bertanya semula dan perlahan ibuku mengangguk sambil air matanya mengalir di pipi.

Aku berasa pelik dengan soalan ayahku tadi. Peristiwa apa? Nampak anak kita? Bukankah aku ada di depan mereka sekarang? Ah… Aku baru tersedar. Sebenarnya aku telah meninggal dunia sebulan yang lalu akibat cedera teruk didera pengasuhku. Ibu ternyata masih menyimpan marah dan ibu juga sangat merinduiku. Aku juga rindu padamu ibu.

Artikel Lain Untuk Di Baca