CERTOT: Apa Mahuku?

Dia bersandar pada bahuku. Malam itu, jerebu kelahiran negara seberang semakin menebal di luar yang semakin larut.

“Sudah berapa lama kita kenal, sayang?” soal dia sambil jari-jemarinya bermain-main di lenganku.

“Mana mungkin aku hitung semuanya.” jawabku ringkas. Lembut hujung rambutnya ku pintal-pintal. Asyik.

“Begitulah lelaki. Soal perkara mudah pun tak boleh jawab.”

Tergelincir senyum nipis dari bibirku usai mendengarkan ungkap rajuknya. Dia perasan senyumku lalu pantas perutku disiku.

“Ok begini. Jawab pula soalku. Esok kita sarapan bersama, mahu?” aku membalas soal.

“Apa?”

“Mahu?”

“Ya.” jawabnya acuh tak acuh. Ajakanku nampak belum mampu menariknya keluar dari lohong rajuk seorang wanita.

“Ya apa?”

“Mahu sarapan bersamamu.”

“Kalau begitu, apa santapan pagi kegemaranku?”

“Nasi lemak dan teh tarik.”

“Begitulah kamu, sayang. Sering tahu apa sukaku, apa mahuku.”

“Dan kamu? Tak pernah tahu apa sukaku, bukan?”

“Aku tahu.”

“Apa?”

“Shopping.”

“Ehehehe. Esok ya? Jika tidak, aku akan merajuk sampai Hari Malaysia. Aku tidur dahulu. Selamat malam.” dahiku dikucupnya halus.

Dia meninggalkan aku terkedu sendirian dalam samar malam. Tidak lama selepas itu aku mencapai telefon bimbit lalu membuka aplikasi Maybank2u.

“Sehelai baju H dan M cukup mungkin untuk esok.”

Artikel Lain Untuk Di Baca