CERPEN: Tuah Nelayan

Penulis: Nyda Haron

Pagi-pagi lagi Ismail pergi ke hujung kampung untuk mencari rezeki sebagai seorang nelayan. Ismail tahu, itu sahaja cara dia untuk mendapatkan wang bagi menyara kehidupannya dan ibunya. Ismail anak tunggal dalam keluarganya dan kematian bapa sejak usianya 5 tahun. Tiada siapa yang dapat menyara hidup mereka kecuali dia sendiri. Ibunya berusia 50 tahun dan sudah tidak berdaya melakukan kerja yang berat-berat. Ismail sangat menyayangi ibunya dan menyanjung ibunya kerana tanpa ibunya, dia tidak akan membesar sehingga usia 22 tahun ini.

“Mail, aku tengok kau ni rajin sangat cari rezeki. Siang malam pagi petang kau ke hujung kampung ni. Kau tak reti nak rehat ke?” tanya Salim kepada Ismail. Salim adalah rakan baiknya dari usia 5 tahun lagi. Mereka saling bersama tika susah mahupun senang.

Pada ketika itu, keadaan dan suasana Kampung Jati sedikit huru-hara dengan pemerintahan yang tidak teratur dan tidak terurus. Salim dan Ismail sangat risau dengan berlakunya situasi pergaduhan dan perebutan kuasa dalam kampung mereka. Pemerintahan Kampung Jati ketika itu diketuai oleh Sultan Zamri Shahbanna yang sangat bersahaja memerintah negeri pada masa itu. “Beta hanyalah melaksanakan tugas beta sebagai pemerintah di negeri ini. Peduli apa beta dengan lain-lain kerja? Bukankah beta yang paling berkuasa? Ikut suka betalah untuk memerintah macam mana.”

Maka didengarlah oleh seluruh rakyat yang ada di kampung itu pada ketika Sultan Zamri Shahbanna berkata demikian. Mereka sangat kecewa kerana mempunyai pemerintah yang sangat tidak mementingkan rakyat dan negeri. Pernah mereka menyuarakan agar Sultan Zamri Shahbanna meningkatkan lagi taraf hidup rakyat di Kampung Jati itu, namun hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Sehinggakan mereka merasa berputus-asa untuk meminta pertolongan orang yang sepatutnya membantu rakyat ketika itu.

Ismail adalah seorang yang suka membantu penduduk kampung dengan hasil tangkapannya. Dia membantu dengan memberi ikan-ikan yang diperolehnya kepada rakyat yang memang tidak mampu untuk membeli makanan buat menyara hidup. Lebih-lebih mereka yang memiliki anak kecil. Dia tidak pernah memikirkan kerugian kerana dia yakin rezekinya akan semakin bertambah dengan membantu orang. Salim yang selalu menemaninya ke laut juga sangat bangga dengan sikap Ismail. Namun sesekali Salim ada juga menasihati Ismail kerana dia takut rakannya itu kerugian dalam berniaga.

“Kau jangan selalu sangat membantu orang yang susah itu, Mail. Aku tahu kau kasihan akan mereka, tapi kau juga kena kasihankan diri kau sendiri yang sudah berhempas-pulas mencari rezeki untuk ibu kau di rumah sana.” Nasihat Salim kepada Ismail. Ismail hanya terdiam dan mengukirkan senyuman. Namun di sebalik ketenangannya itu, dia juga memiliki satu tabiat yang aneh pada dirinya iaitu darah gemuruh. Ismail menjadi begitu sejak usianya 10 tahun. Dia tidak boleh menghadapi keadaan yang boleh membuatkan dia merasa malu. Pasti dia akan gementar teruk.

*****

Hari ini Ismail keluar dari Kampung Jati untuk mencari rezeki di kampung sebalah iaitu Kampung Parit Lama. Kedua-dua buah kampung ini terletak di penghujung negeri Johor. Di situ dia berniaga ikan-ikan hasil tangkapannya. Dia pergi pagi-pagi lagi seawal jam 8 pagi dan pulang semula ke kampungnya pada jam 7 petang. Hal sebegini hanya dilakukan pada setiap hujung minggu kerana Kampung Parit Lama itu mempunyai ramai penduduk yang hidupnya boleh dikatakan sedikit senang berbanding penduduk kampungnya. 

“Ibu! Ibu! Mail sudah pulang ibu! Mail bawa duit hasil jualan ni!” teriak Ismail sesudah sahaja dia tiba di halaman rumahnya. Ibu Ismail bernama ibu Imah sangat menyayangi anaknya itu kerana rajin mencari rezeki dan sangat bertanggungjawab sifatnya. Ibu Imah sangat berbangga mempunyai anak seperti Ismail walaupun anaknya itu tidaklah mempunyai pekerjaan seperti orang lain yang berpendapatan tinggi, namun Ismail pandai dan bijak memikirkan bagaimana cara untuk menyara hidup. 

Ibu Imah pernah terfikir tentang kehidupan Ismail suatu hari nanti jika dia sudah tiada. “Siapa yang akan menjaga makan minum Ismail? Siapa yang akan menjaga pakaianya? Siapa yang akan memberi dia semangat tika dia memerlukan? Mungkin Ismail harus mencari teman hidup untuk menjaga dirinya nanti.” berkata ibu Imah di dalam hati. Dia melihat Ismail sangat tekun bekerja seolah tidak memikirkan tentang calon untuk dijadikan isteri. Mungkin juga Ismail tidak mahu beristeri dahulu untuk menjaganya. Pada malam itu, Ismail ditegur oleh ibunya di beranda rumah mereka yang sedikit usang. “Mail, ibu lihat kamu sangat tekun bekerja. Kamu ada fikirkan ke kalau nanti ibu sudah tiada, siapa yang nak jaga segalanya tentang kamu?” 

“Maksud ibu?”

“Maksud ibu, kamu sudah ada pilihan hati ke untuk dijadikan isteri?” 

“Oh, itu maksud ibu. Emmm. Bukan begitu, bu. Mail cuma belum bersedia lagi.” 

“Habis tu, kamu mahu menunggu sampai bila?”

“Nanti sudah masanya, Mail akan cepat-cepat bagitahu ibu ya?” itu sahaja yang mampu untuk dijawab oleh Ismail.

*****

Seorang gadis dari Kampung Parit Lama yang bernama Mayang sedang berjalan menuju ke pondok jualan Ismail. Ismail yang sedang sibuk menyusun bekas-bekas yang ada dikejutkan dengan kehadiran seorang gadis yang sangat ramping susuk tubuhnya, manis senyumannya, wangi dirinya dan cantik kulitnya. Ismail menoleh ke arah suara yang

memanggilnya abang tadi dengan senyumannya yang menggoda itu.

“Ehemmm! Jangan pandang lama-lama, nanti lama-lama turun ke hati pulak.” Ejek Salim kepada Ismail.

“Errr… ye cik adik? Nak ikan apa? Ikan pari ni tiga ringgit sekati, ikan merah ni empat ringgit sekati. Haaa. Cik adik nak cari ikan apa?” tanya Ismail dengan sedikit gelabah.

“Saya nak ketam. Sekati berapa?” tanya Mayang.

“Ketam, abang jual pada cik adik enam ringgit sekatilah.” 

Petang itu, balik sahaja dari berniaga di kampung sebelah, Ismail mandi dan terus berbaring di dalam biliknya. Dia asyik teringatkan gadis tadi yang dia tidak sempat untuk

bertanyakan namanya. Ismail rasakan dirinya sudah jatuh hati dengan gadis tersebut. Tidak lama kemudian, dia terlena. 

Pada keesokan harinya, seperti biasa Ismail dan Salim pergi berniaga di kampung sebelah. Mereka berdua membuka kedai lebih awal sedikit berbanding semalam. “Mail, gadis semalam tu cantik kan, Mail? Aku rasa aku dah jatuh hati dengannya.” luah Salim kepada Ismail.

“Ya, memang cantik.” jawab Ismail perlahan. 

“Kau tahu ke nama gadis itu, Mail?” 

“Tidak, aku tidak tahu.” 

Pada petang itu, sekali lagi wangi yang sama menghampiri kedainya dan suara yang sama memanggil Ismail, abang. Ismail menoleh dan ternyata gadis semalam yang membeli ketamnya. Sebelum dia terlupa, dia terus bertanyakan nama gadis itu, “Cik adik nama apa?”

“Nama saya Mayang. Abang pula nama apa?”

“Cantik sungguh nama itu, macam orangnya jugak. Nama abang, Ismail.” Ismail memperkenalkan namanya. Salim hanya memerhati dari jauh. 

“Mayang ke gerai abang ni ada apa? Nak beli ketam lagi ke?” 

“Ehh. Tidaklah. Saja lalu sini. Kebetulan tengok abang ada, Mayang terus ke sini nak bertanyakan nama. Sebab semalam kita tidak sempat untuk berkenalan.” jawab Mayang

lembut.

“Oh… macam tu. Ingatkan nak beli ketam lagi.” Ismail bergurau.

Malam itu, sebelum tidur, Salim teringatkan Mayang. Dia mula berasa rindu. Ketika mereka berborak panjang tadi, Mayang menceritakan serba sedikit tentang dirinya dan keluarganya kepada Ismail. Apa yang Ismail faham, Mayang adalah dari keluarga yang agak berbeza tarafnya jika dibandingkan dengan keluarganya yang tidak seberapa itu. Ismail mula memikirkan tentang hatinya yang ingin memiliki Mayang. Kalau boleh dia hendak menjadikan Mayang isteri dia. Dia sudah jatuh hati dengan Mayang.

Keesokan harinya pula, ketika Ismail hendak berniaga, dilihatnya meja-meja untuk meletakkan ikan-ikan sudah roboh. Bukan sahaja tempat dia berniaga, tempat peniaga lain juga meja telah dirobohkan. Ismail dan Salim merasa tidak puas hati dengan pencerobohan itu. Mereka berdua bersama rakyat Kampung Jati pergi ke istana Sultan Zamri Shahbanna untuk mengadu tentang pencerobohan itu. Setelah sampai di istana, mereka mendapat tahu rupa-rupanya orang-orang suruhan Sultan Zamri Shahbanna yang melakukan kerja itu.

“Kenapa Sultan melakukan ini kepada kami? Bukankah itu sahaja tempat kami untuk mencari rezeki?” tanya Ismail kepada Sultan Zamri Shahbanna dengan nada yang sedikit meninggi.

“Ya, memang di situ sahaja tempat kalian mencari rezeki. Tetapi, beta tidak lagi membenarkan kalian berniaga di situ. Hal ini kerana ia mengganggu laluan orang-orang

suruhan beta untuk melakukan kerja-kerja di tepi laut. Kalian pergilah cari tempat-tempat lain yang boleh kalian buat berniaga. Beta tidak suka akan adanya gerai-gerai di situ.”

“Patik tidak menyangka seteruk ini pemerintahan tuanku pada negeri ini. Apakah tidak ada sedikit rasa simpati kepada rakyat seperti kami ini? Kejam sungguh perbuatan sebegini diperlakukan kepada kami.”

Rakyat Kampung Jati sudah tidak tahu hendak berkata apa lagi. Mereka terus beredar dari situ sambil mengeluh kecil kerana kesal dengan tindakan Sultan Zamri Shahbanna itu.

*****

Petang itu udara di Kampung Jati terasa amat segar sekali. Angin bertiup lembut dengan kicauan burung-burung yang sangat girang terbangnya. Begitulah hati Ismail setelah

dapat keluar berduaan bersama Mayang di sebuah tasik yang airnya sungguh jernih dan bersih. Ismail sungguh tidak menjangka yang hatinya sudah terpaut pada seorang gadis. Mayang telah berjaya membuka pintu hatinya untuk cinta yang hadir tanpa dia sedar. 

“Mayang, abang ada sesuatu yang abang hendak cakapkan ni. Abang harap Mayang boleh menerima seadanya dan faham apa yang abang maksudkan ini.” ujar Ismail sedikit

gementar.

“Apa dia abang?”

“Abang mahu jadikan Mayang sebagai pendamping hidup abang. Abang mahu Mayang jadi peneman setia abang buat selamanya. Sudikah Mayang?” luah Ismail dengan

gementarnya. 

“Betulkah abang ingin jadikan Mayang isteri? Ikhlaskah abang mencintai Mayang? Sebenarnya Mayang pun sudah jatuh hati dengan abang cuma Mayang tidak pandai untuk

meluahkannya kerana takut cinta Mayang ini ditolak.”

Ismail terdiam seketika dan hanya melihat wajah Mayang yang ayu itu. 

“Kenapa abang terdiam? Kenapa abang renung Mayang begitu sekali?” tanya Mayang berkali-kali sambil menepuk bahu Ismail. Lalu Ismail tersedar dan mengusap mukanya dengan tangan.

“Maaf, abang memang begitu Mayang.  Abang ada penyakit darah gemuruh dan jika abang rasa gementar sedikit abang akan terdiam dan hanya termenung seketika seperti orang kena pukau.” jelas Ismail jujur.

Memang ramai yang menaruh hati pada gadis tersebut tetapi tiada siapa yang berani tampil untuk meluahkan rasa mereka kepada Mayang. Kini hati Mayang telah dimiliki oleh Ismail, seorang pemuda miskin yang kacak tetapi cacat sedikit sifatnya. Namun tanpa Ismail tahu, Sultan Zamri Shahbanna juga turut menaruh hati pada Mayang. 

*****

“Mak Teja, Pak Rajak, hajat saya kemari untuk mengatakan yang saya hendak menjadikan anak gadis Mak Teja dan Pak Rajak sebagai teman hidup saya. Apa makcik dan pakcik berdua merestukan hubungan kami ini?” tanya Ismail dengan penuh rasa gementar.

“Bagus sungguh niat kamu itu Ismail. Pakcik dan makcik merestui hubungan kamu berdua. Tetapi…” runsing wajah Pak Rajak.

Ismail seperti biasa, dia akan menjadi seperti orang yang dipukau kerana gementar yang ada pada dirinya. Mak Teja dan Pak Rajak berkali-kali mengejutkannya dan terus

memanggil Mayang untuk bertanyakan apa yang berlaku kepada Ismail.

“Oh… dia memang begini pak. Dia ada satu penyakit yang orang panggil darah gemuruh. Tapi penyakitnya ini ada tambahan pulak iaitu bila dia gementar, dia akan jadi seperti

orang yang tidak tahu apa-apa dalam beberapa minit. Hahaha… kadang-kadang Mayang pun terhibur pak bila dia begini.”

“Ehemmm!” tersedar Ismail setelah terdiam dalam beberapa minit. “Maafkan saya pakcik, makcik. Saya ada masalah sedikit dengan saya punya penyakit.”

“Tak mengapa Mail. Mayang dah terangkan semuanya tadi. Kelakar jugak kamu ni Mail. Macam mana nak lafazkan akad nikah kalau kamu gementar begini?” soal Pak Rajak sambil ketawa.

“Tapi, apa yang pakcik nak cakapkan tadi tu?” tanya Ismail untuk kepastian.

“Begini. Sultan Ramzi Shahbanna telah menghantar rombongan meminang anak pakcik pada hari semalam. Apakah Mayang tidak memberitahu kamu, Mail?” 

Sungguh terkejut Ismail dengan apa yang diberitahu oleh Pak Rajak itu. Mayang dan Mak Teja hanya tunduk terdiam.

“Jadi, pakcik terima lamaran itu?”

“Mahu atau tidak, pakcik dan makcik kena terima sebab dia tu sultan. Tiada siapa boleh membantah.”

“Tidak mengapalah kalau begitu. Saya minta diri dulu. Mayang, kamu jaga diri. Mungkin sampai sini saja hubungan kita.” ujar Ismail dalam nada sayu.

“Mayang tidak mahu bersama dia. Mayang mahu bersama dengan abang!” 

Ismail berlalu pergi meninggalkan halaman rumah Mayang.

“Mayang tunggu sampai abang masuk meminang Mayang!” itulah kata-kata terakhir Mayang lontarkan kepada Ismail saat Ismail pergi.

*****

Hari-hari yang di lalui oleh Ismail tidak seperti dulu. Dia merasa serba kekurangan. Dulu, kalau dia tidak bekerja dan ke laut pada setiap hari, itulah yang menjadi kurang dalam hidup dia. Kini, kehilangan Mayang pula yang menjadi kekurangan dalam hidupnya. “Mayang tunggu sampai abang masuk meminang Mayang!” itulah kata-kata yang

masih terngiang di telinga Ismail.

“Apakah maksud Mayang mengatakan semua itu? Adakah dia masih menunggu aku?”

Selama dia berniaga di Kampung Parit Lama, dia tidak pernah nampak lagi kelibat Mayang di pasar ikan itu. 

Dalam pada itu, Sultan Zamri Shahbanna sudah mulai risau dengan keadaan negerinya yang semakin merosot. Pada suatu malam, beliau tiba-tiba terfikirkan tentang nasib negeri dan rakyatnmya. Mengapa semuanya berlaku begitu teruk sekali? Sultan Zamri Shahbanna sangat runsing. 

Keeseokan harinya, Sultan Zamri Shahbanna bersama orang-orang istana pergi bersiar-siar di pasar ikan Kampung Parit Lama sambil dalam perjalanan untuk pergi ke rumah bakal isterinya iaitu Mayang. Ketika beliau berjalan-jalan di sekitar situ, Sultan Zamri Shahbanna ternampak Ismail termenung sendiri. Sultan Zamri Shahbanna memang sedia tahu yang Ismail seorang yang sangat baik hati dan dia juga yang selalu membantu orang-orang kampun. Semua itu beliau dengar dari mulut-mulut orang kampung yang memuji-muji sifat Ismail yang suka membantu tika rakyat dalam kesusahan. Beliau berhenti seketika untuk berjumpa dengan Ismail.

“Assalamualaikum, Ismail.” sapa Sultan Zamri Shahbanna.

“Eh, waalaikumsalam. Tuanku buat apa di sini?”

“Beta hanya bersiar-siar melihat keadaan di sini dan ingin ke rumah tunangan beta, Mayang.”

“Oh, begitu. Baiklah tuanku.”

“Beta lihat kamu termenung, ada apa-apa yang tidak kena?” tanya Sultan Zamri Shahbanna lagi.

“Tidak ada apa-apa., tuanku.”

“Baiklah kalau begitu. Beta berangkat dahulu.” 

Setibanya Sultan Zamri Shahbanna di rumah tunangannya itu, beliau di sambut baik oleh keluarga Mayang. Sedang mereka berbual, Pak Rajak dan Mak Teja berterus-terang tentang hubungan Mayang dengan Ismail. Sultan Zamri Shahbanna sangat terkejut dengan apa yang didengarnya. Pada hari itu juga beliau memutuskan pertunangannya dengan Mayang. Beliau tidak sanggup untuk menyakiti Ismail kerana Ismail telah banyak berkorban hasil pendapatannya untuk rakyat dan selalu membantu rakyat. Walaupun hidupnya miskin, dia tidak pernah kedekut dengan apa yang dia ada. Sultan Zamri Shahbanna sangat terhutang budi atas kebaikan dan keikhlasan hati Ismail dalam membantu rakyat walaupun dia bukan siapa-siapa. 

*****

Ibu Imah menyediakan sedikit sarapan buat anaknya. Sudah lama mereka tidak bersarapan bersama sejak Ismail sibuk ke laut dan termenung tidak henti. Hari itu, Ismail

hulurkan sedikit wang kepada ibunya untuk belanja. Baginya tiada makna lagi untuk dia menyimpan duit. Niatnya hendak memperisterikan Mayang hanya tinggal niat. Kini, dia

hanya dapat melihat kebahagiaan Mayang bersama Sultan Zamri Shahbanna sahaja. Ibunya mengerti apa yang anaknya rasakan ketika itu. Ibu Imah tidak mahu mengambil duit itu kerana dia percaya suatu hari nanti anaknya itu akan memerlukan duit tersebut. Hari itu juga, datangnya Sultan Zamri Shahbanna ke rumah Ismail.

“Assalamualaikum!”

“Waalaikumsalam. Eh, tuanku? Silakan naik ke rumah patik yang tidak seberapa ini.”

“Terima Kasih. Sebenarnya, beta ke sini kerana ada perkara yang mahu dibincangkan.”

“Apakah perkara itu?” tanya Ismail pelik.

“Beta dengan Mayang sudah tiada apa-apa hubungan. Beta benar-benar tidak tahu bahawa kamu berdua pernah menjalinkan hubungan cinta.”

Terkejut sungguh Ismail mendengar apa yang di katakan oleh Sultan Zamri Shahbanna itu. “Mengapakah tuanku tiba-tiba berkata demikian?” tanya Ismail lagi.

“Beta sedar akan semua silap beta yang tidak bertanggungjawab atas semuanya. Kamu telah banyak membantu rakyat Kampung Jati ini walaupun hidup kamu sendiri susah. Beta sangat terhutang budi dengan kamu, Ismail. Tambahan lagi, beta memang tidak tahu kamu berdua tengah bercinta ketika beta menjadikan Mayang sebagai tunang beta.” 

“Tidak mengapa tuanku. Patik mengerti semuanya. Jadi sekarang, tuanku sudah tiada apa-apa hubungan lagi dengan Mayang?”

“Ya, begitulah hendaknya. Sekarang kamu boleh melamar Mayang. Oh, sebelum beta terlupa, beta mahu mentabalkan kamu sebagai Sultan negeri ini pada hujung bulan ini. Beta tidak layak untuk menjadi pemimpin.” 

Sekali lagi Ismail terkejut akan kata-kata Sultan Zamri Shahbanna itu.

“Hah?! Menjadi Sultan? Biarlah tuanku berfikir panjang dahulu dengan pemilihan sebegini. Ini soal negeri, bukan kecil bulatannya.”

*****

Ismail sangat gembira dengan penerimaan pinangannya melalui rombongan ibunya tempoh hari. Pada malam itu, mereka berkumpul di ruang tamu rumah Pak Rajak dan Mak Teja kerana Ismail ingin mengatakan tentang pertabalan dia sebagai Sultan nanti sekaligus menetapkan tarikh persandingan mereka berdua.

“Malam ini, saya hendak mengatakan sesuatu yang mungkin akan mengejutkan semua.” kata Ismail.

“Tentang apa?” tanya Pak Rajak.

“Sebenarnya, saya akan ditabalkan sebagai Sultan hujung bulan ini. Jadi, saya bercadang untuk melangsungkan perkahwinan kami nanti pada hari pertabalan itu.” 

“Hah?! Kenapa abang tak pernah bagitahu Mayang?” tanya Mayang terkejut.

“Yalah, macam mana nak bagitahu? Sudah lama kita tak berjumpa. Jadi Mayang sanggup tidak menerima semua ini bersama abang?” 

“Mayang kan sudah berjanji menerima semua kekurangan dan kelebihan abang? Jadi, Mayang akan sokong dan ada bila abang perlu. Tapi, abang kan ada penyakit, macam mana nak kawal semuanya kalau abang gemuruh nanti?” Mayang cuba mengusik Ismail. 

*****

Akhirnya, Ismail dan Mayang sah menjadi suami isteri dan Ismail juga ditabalkan menjadi sultan di negeri tersebut dengan gelaran Sultan Ismail Rahman. Rahman adalah nama arwah ayahnya. Salim pula dilantik sebagai Dato’ Bendahara di dalam istana itu. Mereka sangat gembira kerana negeri Johor kini telah semakin sempurna dan stabil ekonominya. Ismail dan Mayang pula sangat bahagia di samping cahaya mata sulung yang diberi nama Megat Lani. Mereka hidup aman damai seluruhnya.

Artikel Lain Untuk Di Baca