Penulis: RINN ISAAC
“MANDA, untungnya kau, duduk rumah je kau sekarang. Tapi boleh bergaya pakai baju, kasut, handbag semua branded. Kereta pun kereta mewah.” berkepul-kepul pujian yang keluar dari mulut Rina apabila melihat Amanda di depan matanya.
Amanda yang dulu jauh berbeza dari Amanda sekarang. Jelas terlihat dari raut wajahnya yang kini dia sedang bahagia. Senyuman tak pernah lekang mengoyak wajah. Terbit rasa cemburu di hati Rina.
“Untung apanya. Kehidupan aku biasa je. Macam kau juga, tak ada apa yang hebat,” tutur Manda dengan rendah diri.
“Tak untung kau cakap? Tengoklah diri kau.” Mata Rina liar mencabul tubuh Amanda dari kepala hingga ke hujung kaki. Amanda sendiri turut menilik tubuhnya dari atas ke bawah. Kemudian, dia tersenyum nipis.
“Kau ni, ada-ada je. Aku tilik dari atas sampai bawah aku rasa aku sama je macam Amanda yang dulu.” Amanda kembali menyambung suapan nasi ke dalam mulutnya.
“Kau lain sekarang, Manda. Terus terang aku cakap, aku cemburu tengok kau. Cemburu sangat. Tu lah untungnya orang ada rupa macam kau. Nak bahagia, nak bersenang-lenang tu petik jari je. Kalau akulah macam kau, kan bagus. Ish, cemburulah aku dengan kau ni.” Rina menayang wajah cemberutnya.
Amanda tertawa halus, geli hati melihat gelagat sahabat di depannya. Apalah yang dia cemburu sangat dengannya. Padahal, kehidupan mereka tidak jauh berbeza pun. Cuma, dia yang dikatakan Rina itu beruntung kerana dapat suami seperti Raykal; berharta, berpangkat dan punya empayar perniagaan sendiri. Mungkin itu yang Rina cemburukan.
“Apa yang kau cemburu sangat ni sebenarnya? Cuba bagitahu aku.” Wajah Rina dipandang sekilas sebelum dia menarik gelas di depannya lalu menghirup perlahan jus tembikai yang ditempahnya tadi.
“Aku cemburu sebab kau dapat suami macam Raykal. Aku boleh bayangkan betapa bahagianya hidup kau sekarang. Dilimpahi kasih sayang dan harta benda. Bukan macam aku ni, nak barang semua beli sendiri. Mentang-mentang aku pun kerja, Ramli buat tak endah je bila aku minta itu ini.” Rina mencebik.
“Ala, biasalah tu. Suami isterikan kena saling memahami. Saling bantu membantu. Bila dia tak mampu kau janganlah paksa. Kalau kau sendiri mampu, tak salah kau belanja untuk diri sendiri. Tak elok tau kau memperlekehkan suami kau. Kalau dia boleh terima kau seadanya, kenapa kau tak boleh terima dia seadanya? Kau kena bersyukur selalu. Sekurang-kurangnya, Ramli tu bertanggungjawab, selalu ada kat sisi kau dan selalu ada masa untuk kau.” Panjang lebar Amanda memberi pedoman.
Rina membuat riak bosan, bosan bila Amanda cerita yang baik-baik pasal Ramli. Padahal, dia sudah bosan dengan sikap kedekut Ramli. Dia mahukan lelaki seperti Raykal. Yang boleh berikan dia apa saja yang dia mahukan. Dia ingin menjadi seperti Amanda. Pakai barangan branded. Pakai kereta mewah. Barang kemas berketul-ketul.
‘Hai lah. Untungnya kau Amanda,’ desis hati kecil Rina.
Sedang mereka menjamu selera, mata Rina tertangkap satu figura yang sangat dia kenali. Membulat matanya melihat gerangan itu melangkah beriringan bersama seorang gadis cantik dan seksi. Siap peluk-peluk tangan lagi.
‘Aku salah nampak ke? Biar betul?’ monolog Rina sendiri.
“Manda, tengok tu.” ujar Rina.
Manda kalih pandangnya, melihat figura yang Rina tunjuk dengan muncungnya. Entah kenapa, nasi yang ditelan terasa seakan pahit saat melalui rengkung. Nasi yang ditelan bagai hempedu rasanya. Padahal nasi tidak berperisa begitu.
Empat jam lalu.
Siap membersihkan diri, Amanda keluar dari bilik air dengan tubuh berbalut tuala putih dari paras dada ke paha. Terasa kesejukkan penghawa dingin mencengkam sehingga ke tulang. Cepat-cepat dia mencari pakaiannya lalu disarungkan ke tubuh.
Kemudian, dia berdiri di depan cermin sambil memerhati alatan solek mewah miliknya. Satu persatu alatan solek dicalit ke wajahnya. Wajah yang sudah sedia cantik semulajadi itu semakin menawan dengan solekan nipis di wajah. Dia membelek wajahnya sekali lagi di depan cermin untuk memastikan semuanya nampak sempurna.
Tiba-tiba, terasa ada tangan melingkar di pinggangnya. Amanda mendongak, melihat pantulan figura yang memeluknya dari belakang.
Itu Raykal. Seorang suami idaman semua perempuan. Rupa paras bak Arjuna dari kayangan. Harta, wang dan pangkat semuanya dia punya. Jika wanita lain berkahwin dengan dia, pasti berasa bagai Cinderella mengahwini putera raja.
Rasa teruja.
Rasa bertuah.
Rasa bahagia.
Tetapi,
“Sayang, nak keluar ke?” soal Raykal sambil mengeratkan lagi pelukannya pada pinggang ramping Amanda.
“Ya, nak keluar sekejap jumpa Rina. Abang pun nak keluar juga?”
“Ya, macam biasa. Nanti sayang tak perlu tunggu abang balik ya?”
“Abang nak jumpa Maya ke?” soalnya senada.
Raykal melepaskan keluhan berat. “Ya. Manda tau kan? Kenapa nak soal lagi? Kita dah bincang hal ni. Manda buat hal Manda, abang buat hal abang,” tegas Raykal.
Pelukan tadi dilepaskan. Raykal melangkah ke arah almari pakaian yang terletak di sebelah kiri bilik. Pintu almari dikuak. Laci kecil yang terdapat di dalam ruangan almari itu ditarik. Dia mengeluarkan not RM100 sebanyak sepuluh keping dan diserahkan kepada Amanda yang merenung kosong cermin di depannya.
“Nah. Untuk sayang. Ambil dan diam. Faham?” Anak mata Raykal merenung tajam ke dalam anak mata Amanda. Pandangan itu terasa tembus ke dalam kepalanya.
Amanda angguk kecil, seraya tangannya cepat menyambut duit yang dihulur Raykal tadi. Raykal senyum sinis lalu pergi meninggalkan Amanda di situ. Amanda menoleh, melihat pantulan dirinya pada cermin.
‘Sampai bila kau nak simpan aku macam ni? Sampai bila kau nak terus sakitkan hati aku macam ni? Cara kau bunuh aku, halus. Nampak sempurna. Cukup sempurna. Kau sedar tak, kau dah bunuh jiwa aku sedikit demi sedikit? Apa kau dah buat pada diri kau sendiri Amanda? Apa kau dah buat?’
Separuh mati dia menahan air matanya, akhirnya air mata itu mengalir juga setitis demi setitis. Namun, laju-laju dia mengesatnya semula. Tidak ingin air mata itu meranap solekan yang sudah tercalit di wajahnya. Nafas ditarik dan dihembus panjang. Solekan yang kelihatan comot sedikit kesan air mata dirapi semula, agar semua nampak sempurna.
Sempurna itu dipakai bagai topeng. Topeng yang menutup segala kesan ranap dalam hidup dan hatinya.
Flashback tamat.
Tanpa menghabiskan makanan di dalam pinggan, Amanda segera memasukkan telefon pintarnya ke dalam beg tangan jenama Louis Vuitton dan mengambil keluar kunci keretanya. Dia bangkit dari duduknya.
“Manda, kau nak pergi mana?” soal Rina apabila melihat Manda tiba-tiba bangun sedangkan makanan mereka belum habis.
“Aku nak balik.”
“Balik?”
“Ya, balik ke sangkar aku.”
Dia melangkah meninggalkan Rina yang masih terpingga-pingga di situ.
‘Raykal dengan siapa tadi? Ada apa sebenarnya dengan Raykal dan Manda?’
* Anda mahu tulisan anda disiarkan untuk bacaan umum di portal I AM LEJEN? Emelkan tulisan anda ke [email protected] Karya yang layak akan disiarkan berserta kredit kepada penulis.