Penulis: Adibah Nadzar
Uda masih tidak menghirup teh tarik yang dipesan 40 minit yang lalu. Sesekali matanya menjeling pintu utama bangunan syarikat pembekal barangan perabot yang terletak di tengah-tengah Wangsa Maju. Dijeling pula jam di pergelangan kirinya. Hampir pukul tujuh malam.
Mana Tia ni? Tak keluar-keluar lagi. O.T ke? Uda bermonolog dalam hati. Dijeling lagi buat ke sekian kalinya, Tia sedang berjalan keluar dari bangunan melepasi kedai makan tempat Uda menunggunya. Uda terus ke kaunter untuk membayar teh tarik yang dibuat hias sampai suam atas meja tadi. Dia berlari anak untuk mengejar Tia dari belakang. Tia menoleh apabila terasa ada yang mengekorinya. Oh, Uda.
” Saya perasan awak keluar awal tadi. Awak ada sini lagi rupanya,” ujar Tia. Uda sudah pun berjalan seiring dengan Tia.
“Saja. Lepak-lepak. Makan,” Uda membalas. Tia hanya memberi respon senyum dengan jawapan Uda. Mereka berdua berjalan bersama menuju LRT Wangsa Maju. Masing-masing membisu seraya menunggu tibanya pengangkutan yang akan bawa mereka pulang. Uda memandang Tia yang jarak dua langkah darinya.
Tersipu dia sendirian. Uda dan Tia bekerja di syarikat yang sama. Pergi balik kerja dengan pengangkutan yang sama. Tinggal di kawasan perumahan yang sama, malah tinggal selang serumah sahaja. Uda cuba singkap takdir yang tersusun, sampai sekarang tiada jawapan. Tapi yang pasti, dia tahu apa yang dia rasa.
Tia menoleh, Uda yang sedari tadi mencuri pandang cepat-cepat melontarkan pandangannya ke litar LRT. Pipinya samar-samar merah. Tia tersenyum dengan tingkah Uda. Dia pandang aku, getusnya. LRT tiba. Dari LRT Wangsa Maju ke Setiawangsa hanya memakan masa enam minit. Masih, Tia dan Uda membisu saja hingga mereka berjalan bersama pulang ke rumah sewa mereka yang terletak di Taman Keramat Permai.
” Uda,” panggil Tia sebelum masuk ke dalam pagar. “terima kasih.”
Uda senyum dan mengangguk.
Masing-masing masuk ke dalam rumah. Hari demi hari, rutin yang sama. Pergi balik bersama tapi belum ada perbualan selain dari soal kerja. Selainnya, hanya diisi dengan membisu sambil curi pandang sesama sendiri. Ada sesuatu yang sudah lama bercambah namun dibiar sepi. Dibiar hidup mekar tapi tak pernah diluah. Tak pasti apa yang menghalang.
….
Tia masih menghadap Whatsapp untuk catit ‘to-do-list’ daripada bosnya di buku nota, takut ada yang terlepas pandang lagi macam hari ini. Tak fasal-fasal kena balik lambat. Kesian Uda tunggu aku.
Kerelaan. Susah untuk diterangkan. Seolah-olah itu perjanjian yang dibuat dalam minda mereka berdua. Telepati? Entah. Sudah menjadi kebiasaan kalau dia lambat, Uda akan tunggu dan begitu juga sebaliknya. Rasa macam tak kena kalau tidak pergi dan pulang bersama, padahal bukannya mereka berkawan pun. Dalam LRT mahupun berjalan pergi dan pulang, masing-masing hanya membisu. Duduk pun mesti berjarak. Tia menutup buku notanya dan menyusun barang-barangnya di atas meja. Jarinya menarikan nama Uda di atas skrin fonnya. Uda – Online.
Uda, saya suka awak.
Tia menaip. Aih, direct sangat ni. Padam, padam, padam. Hmm, tanya benda yang masuk akal sikit. Tia menaip lagi.
Awak tak tidur lagi? Dah lewat ni.
Ibu jari kanannya tepat-tepat ada di atas butang ‘send’, hanya menunggu untuk mendarat. 10 saat berlalu, masih tiada tindakan. Akhirnya Tia memadam balik semuanya. Uda masih lagi dalam talian. Dia chat dengan awek dia lah tu. Dari tadi online. Dahlah, baik aku tidur. Fonnya di letak tepi, dan Tia menutup lampu.
Tia – Offline
Eh? Tadi dia typing, sekarang dah offline dah? Uda mengeluh. Dua kali kot dia typing tadi. Memang dari tadi Uda dalam talian, tapi bukan untuk berbual dengan sesiapa. Dia hanya tenung gambar profil Tia. Uda pula mula menaip.
Tia, kalaulah awak tahu isi hati saya.
Uda membiarkan saja tak terhantar. Andai saja dirinya cukup berani. Mungkin satu hari nanti, itu pun kalau Tia masih belum dipinang orang.
….
Udara pagi itu sejuknya lain macam, mungkin sengaja untuk mengusik Uda yang cuba mencari sumber kekuatan untuk mengawal rasa gemuruhnya. Tia duduk tenang sambil menunggu LRT tiba.
“Tia, malam ni awak free tak?” tanya Uda. Tia mendongak memandang, dia nak ajak dating ke ? Hihi. Tia tersenyum sendiri.
“Tia?” Uda masih menunggu respon. Senyumnya manis, tapi tak memadai sebagai jawapan.
“Mm, kenapa Uda?” Tia membalas soalan.
“Saya nak ajak awak pergi tengok wayang. Makan-makan. Lepas kerja? Tu pun kalau awak ada masa,” Uda jujur.
“Boleh, tapi awak belanja.”
Mahu saja Uda melompat girang di situ. Yes! Uda mengangkat tiga jarinya, “No hal.”
Dalam diam, mereka berdua tak sabar untuk menunggu pukul 6 petang nanti.
….
Tia menjeling jam di komputernya. Pukul 5.45 petang. Lagi 15 minit saja dia akan keluar berdua dengan Uda. Sudah lama dia menunggu saat sebegini, walaupun sebagai rakan sepejabat. Hatinya berbunga. Dia bingkas bangun dan menuju tandas untuk touch up mukanya yang berminyak, dan sembur sedikit minyak wangi.
“Ahh tak sabarnya!” Tia separa menjerit tanpa sedar makcik cleaner masih di dalam tandas bersamanya. Tia tersenyum sumbing seraya tergelak kecil. Terus dia keluar dari tandas. Cepat-cepat dia mengemas mejanya.
Uda menunggu di hadapan pintu bangunan pejabatnya sejak 10 minit yang lalu. Dia tak mahu Tia yang menunggunya. Cuba dikawal debaran di balik dada. Ini kali pertama dia keluar berdua dengan perempuan selain ahli keluarganya. Moga tak ada benda-benda yang menjanggalkan terjadi. Rileks, Uda. Dia sudah nampak Tia keluar dari lif. Uda melambai, Tia juga melambai.
“Tenang, Uda.” Uda cuba mengukir senyum.
“Tenang, Tia.” Tia cuba kontrol ayu.
“Abang, selamat hari lahir!” Zizie memeluk Uda dari belakang. Uda dapat rasa degup jantungnya berhenti sesaat. Terus Uda toleh ke belakang.
“Jijie buat apa kat sini?” tanya Uda sambil melepaskan dirinya daripada pelukan Zizie. Uda memandang Tia yang tergamam. Hatinya jadi tidak keruan melihat wajah Tia sebegitu.
“Jumpa abang sendiri pun tak boleh ke?” Bibir Zizie mula muncung ke depan. Uda dengar tak dengar saja.
“Tia, ni…” Uda cuba untuk menjelaskan.
“Takpa, Uda. Mungkin lain kali? Saya gerak balik dulu ya?” Tia senyum lalu terus bergerak jalan ke LRT sendirian.
“Tia, saya teman awak!” laung Uda. Tia menoleh, tersenyum dan menggeleng perlahan.
“Saya okay!” Tia membalas. Uda mengeluh perlahan lalu memandang Zizie.
“Kenapa nak datang tak call dulu?” tanya Uda.
“Tak suprise la kalau call dulu. Jom, bang, Jijie belanja kek. Hadiah abang ada dalam kereta,” ujar Jijie sambil berpaut tangan dengan Uda. Uda yang lemah membiarkan saja tingkah adik susuannya menariknya ke kereta.
Tia mengusap airmatanya sambil menunggu LRT. Kenapa aku menangis ni? Aku expect apa? Sudah tentu lelaki yang baik macam Uda sudah ada pendamping. Aku saja yang bodoh, mengharapkan sesuatu yang tak pasti. Tia menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskan perlahan. Dah jelaskan Tia? Dia dah ada orang lain.
Uda hanya menguis-nguis saja kek di depan matanya. Tiba-tiba tak lapar pula jadinya. Dirancang hari lahirnya hari ini ingin diluangkan bersama Tia. Lain pula jadinya. Zizie berkerut dengan kelakuan Uda.
“Abang ni kenapa?” tanya Zizie. “Monyok je dari mula Jijie sampai tadi.” Uda cuba untuk senyum, kelat.
“Takda apalah, Jijie. Abang cuma terkejut saja Jijie ada depan mata abang. Lepas makan ni, jom tengok wayang,” ujar Uda untuk sedapkan hati Zizie mahupun dirinya sendiri. Entah apalah yang difikir Tia. Tiket wayang sudah ditempah awal khas untuk Tia, tetapi nampaknya bukan Tia yang akan menjadi penemannya malam ini.
“Haa macam tu la, bang. Makan, makan. Hehe, ” ujar Zizie lalu menyuakan kek ke dalam mulutnya.
Usai saja menonton wayang, Zizie menghantar Uda pulang.
“Terima kasih, Jijie. Lain kali kalau nak jumpa, call dulu tau. Boleh abang plan tempat yang best-best,” ujar Uda sambil membuka kunci pagar.
“Baiklah bos. Payahnya nak jumpa abang sekarang. Kebetulan bos Jijie kasi keluar awal tadi. Tu yang adik terus pecut ke ofis abang,” Zizie membalas. “Jijie rindu abang,” Zizie memeluk Uda.
“Abang pun rindu, Jijie. Sorry, Jijie, abang kadang-kadang tak sempat nak reply text Jijie. Abang lupa,” Uda membalas pelukan Zizie.
“Okaylah bang, Zizie gerak dulu. Abang jaga diri. Bye!”
“Jie, jangan lupa kirim salam ibu, Jijie!”
“Baik!” Zizie beransur pulang.
Uda memandang tingkap rumah Tia. Tia, saya minta maaf. Uda mengunci dan masuk ke dalam.
….
Sejak sejam tadi Tia cuba untuk lelapkan matanya tapi tak boleh. Terdengar bunyi kereta di perkarangan rumah Uda. Tia pantas bangkit dan meninjau ke luar. Seronok betul dia ya baru sekarang balik. Ish kau dah kenapa, Tia? Biarlah dia. Tia masih di tingkap. Terasa sesak tatkala melihat Uda dipeluk wanita lain. Dalam tak sedar airmatanya mengalir lagi. Ahh, kenapa lemah sangat ni Tia? Uda memandang tingkap rumahnya, terus Tia menutup langsir. Uda, siapa dia? Tia teresak sendirian dalam kegelapan biliknya.
….
Uda sudahpun menunggu Tia di depan pintu pagar rumahnya. Tia mengawal mimik mukanya dan terus berjalan ke depan dahulu. Uda jadi tak keruan.
“Tia pasal semalam..” Uda cuba untuk memulakan bicara.
“Uda,” Tia membuka mulut. Jauh dalam hatinya, memang dia teringin benar hendak tahu siapa gerangan wanita semalam. Tapi dia sedar dirinya tak cukup kuat untuk hadap sesuatu yang mungkin akan menghancurkan lagi pengharapannya pada Uda. “Awak tak perlu explain apa-apalah. Mungkin awak lupa kot awak dah berjanji dengan orang lain nak keluar semalam,” ujar Tia. Dia cuba untuk senyum, menyorokkan perasaannya yang sebenar.
“Tapi…”
“Uda. Saya okay.”
“Kenapa mata awak bengkak?”
Tia tergamam. “Err, saya baca novel malam semalam.” Tia melajukan langkahnya. Uda tak mampu lagi hendak bersuara. Terasa sesuatu retak di dalam.
Dua minggu berlalu, Tia masih bersikap dingin. Setiap kali bertembung dengan Uda, dia cuba melarikan diri. Cuma waktu pergi dan balik kerja saja, Tia terpaksa berdepan juga dengan Uda. Acap kali juga Uda cuba memulakan perbualan. Tia tetap acuh tak acuh.
Tia menyusun bag ke dalam keretanya. Dia harus pulang ke kampung, dengarnya ada hal keluarga.
“Awak dah nak gerak dah?” tanya Uda yang sedari tadi melihat saja tingkah Tia. Hendak ditolong, takut ditolak mentah-mentah.
“Hmm.” Tia malas nak bersuara. Diperiksa semula barang-barangnya. Okay, cukup. Tia hendak menutup pintu tapi ditahan Uda.
“Tia.” Uda memandang Tia, tapi dia berpaling. “Saya tahu awak marah dengan saya tapi bagilah saya peluang untuk jelaskan.”
“Apa maksud awak Uda ? Dengan siapa awak nak keluar, tu bukan masalah saya.”
“See? Awak still marah lagi pasal isu tu.”
“Look, saya dah lambat. Saya gerak dulu. Awak jaga diri,” Tia menutup pintu keretanya lalu beredar. Uda mengeluh. Kenapa awak buat saya macam ni, Tia ? Saya nak kita normal macam dulu. Saya bukan macam yang awak sangkakan.
Sebelum ini, Uda langsung tak berani untuk mesej Tia apatah lagi hendak menelefon Tia. Tapi sejak Tia pulang ke kampung, Uda makin jadi tak keruan. Dia cuba hubungi Tia, langsung Tia tak menjawab. Tia membiarkan saja, walaupun Tuhan saja tahu, hatinya berbolak-balik antara perasaan dan realiti. Uda, sudah berpunya. Tak seharusnya dia rapat dengan Uda, lagi-lagi dia sudah lama menyimpan rasa terhadapnya.
Tia memandang jari-jarinya yang berinai lalu menyentuh cincin belah rotan yang dihadiahkan adiknya kerana ‘melanggar bendul’. Alhamdulillah, majlis nikah adiknya berjalan lancar. Tapi hatinya masih tidak lega. Dia mengeluh.
Sudahlah, Uda.
….
Uda meninjau-ninjau cincin di kedai hadapannya bagaikan ada suatu yang menarik-nariknya. Zizie di hadapannnya mengerut.
“Abang ni kenapa?”
“Jie, habis makan, tolong abang pilihkan cincin dekat depan tu.”
“Wow, lain macam ni.”
Mungkin sudah tiba masanya.
….
“Okay, bang, cuba buat macam Jijie ajar tadi.”
“Okay, abang try eh?”
Uda melutut di hadapan Zizie sambil menunjukkan kotak cincin di hadapan.
“Sudi tak awak jadi permaisuri hidup saya?”
Zizie melompat sambil tergelak. “Yes, bang, cepat sarung, cepat sarung.”
“Oh kena sarung eh?” Uda mengambil cincin di dalam kotaknya lalu menyarungkan ke jari Zizie.
“Tahniah Uda,” ujar Tia yang baru saja sampai di rumah dan sempat menyaksikan aksi dua beradik tersebut. Zizie yang sudah tahu tentang Tia gelabah cuba untuk menanggalkan cincin yang dipakai. Terus diletak balik dalam kotak cincin merah di tangan Uda.
“Tia, awak dah salah faham ni. Ni untuk awak,” Uda menarik tangan Tia untuk memberikan kotak cincin itu tapi matanya tertumpu pada cincin belah rotan di jari manis Tia. Jari-jarinya berinai semua.
“Awak dah…”
“..bertunang?” Zizie menyambung.
Soalan Uda dibiar sepi oleh Tia. Uda kecewa. Tia kecewa. Zizie kebingungan.
Disunting oleh Aisa Benasri
Photo by Tommy Lee Walker on Unsplash