CERPEN: Penganggur Terhormat

Hana berasa dirinya loser, terutama ketika sedang baring di sofa sambil skrol laman sosial media. Dia merupakan seorang fresh graduate yang dah tak berapa segar kerana hari konvokesyennya sudah lama berlalu iaitu enam bulan lepas. Kini dia hanya terperap di rumah menanam anggur yang tidak subur-subur di negara beriklim khatulistiwa ini.

Sampai bila dia harus begini? Dia tidak mahu selesa hidup sebagai tukun tiruan begini. Comfort zone sudah bertukar menjadi dead zone.

Hana cemburu melihat perkembangan teman-teman sekuliahnya dulu. Ada yang selfie hari-hari di tempat kerja, ada yang teruja menceritakan pengalaman dapat kerja dan ada juga yang menayang slip gaji RM 2800 tanda syukur.

Tidak kurang juga yang senasib dengannya, meluahkan rasa bilalah nak dapat kerja setelah ijazah berada dalam genggaman, berpuluh resume dihantar dan pergi temu duga di merata tempat. Zaman sekarang, diari hati kini bukan lagi menjadi rahsia. Siapa-siapa pun bebas meluahkan rasa pada dunia.

Hana hanya mampu menekan butang ‘Like’, bergembira untuk orang lain dan menghalau perasaan cemburu yang cuba bermastautin di hatinya.

Gadis itu juga telah menghadiri kira-kira dua belas interview setakat ini termasuk dua career fair yang dihadirinya. Tapi tak ada satu pun bakal bos yang mahukan dia. Apa kurangnya dia? CGPA 3.85, ijazah kelas pertama, dekan setiap semester.

“Please baiki skil komunikasi kamu, pergi mastering English dan cuba lagi ya.” kata penemu duga 1.

“Kami nak cari orang yang ada pengalaman sekurang-kurangnya dua tahun atau lagi bagus sepanjang hayat.” kata penemu duga 2.

“Kos yang kamu belajar ni… tak sesuai la dengan bidang ni.” kata penemu duga 3.

Begitulah episod temu duga seterusnya. Ada juga yang tiada respons langsung walaupun Hana dah cuba menjejak. Tak apalah, mungkin mereka terlupa, tak mahu ambil tahu atau ada hal lebih penting antara hidup dan mati yang perlu dilakukan berbanding melayan e-mel kirimannya. Mungkin pada sesetengah orang, ignorance is bliss. Sehingga lupa yang kadang kala boleh juga menjadi iblis.

Hana memandang trofi dan fail berisi sijil kecemerlangannya yang dikumpul sejak zaman sekolah di rak buku bersebelahan meja belajar. Trofi dan fail itu sudah berhabuk. Jadi, adakah selama ini dia mengumpul habuk saja?

Keluarganya cuba menenangkannya dengan berkata “Rileks, adalah tu rezeki kerja datang ketuk pintu rumah nanti. Sekarang ni rezeki pergi alamat rumah orang lain dulu.” Hana hanya mampu ketawa ha ha ha hambar. Apa pun dia bersyukur kerana dia ada keluarga yang memahami dan menyayanginya tanpa syarat walaupun mereka hidup sederhana. Tak kaya dan tak fakir.

Namun ada juga segelintir insan yang menyelarnya, “Sampai bila kau nak duduk bawah ketiak mak bapak, pergilah cari kerja kat bandar tu.” Hana terasa tapi dia cuba buat tak tahu. Biarlah, sekurang-kurangnya ketiak mak dan bapanya tidak busuk tengik seperti ketiak insan itu sebab itu dia boleh duduk.

Lagipun ibu bapanya gembira apabila Hana, si anak bongsu duduk dengan mereka. Dua orang abangnya sudah berkahwin dan menetap di negeri lain. Rumah itu sunyi sepi sejak anak-anak mempunyai kehidupan sendiri. Walaupun nampak macam tak kisah tapi dalam setiap hati kecil orang tua pasti mahukan anak-anak sentiasa ada untuk mereka.

Hana juga mahu kitaran hidup normal seperti orang dewasa lain. Habis belajar-bekerja-beli aset-berkahwin-beranak-besarkan anak-tua-mati. Atau lagi tinggi angannya mahu berjaya, hidup senang dan mewah seperti kehidupan jutawan atau orang so called berjaya yang sering mendapat perhatian di media. Apa yang Hana tidak tahu adalah keperitan orang-orang yang dikaguminya untuk sampai ke tahap itu.

Hana impikan semua itu sejak zaman belajar lagi. Tak sabarnya nak habis belajar dan pegang duit sendiri suatu hari nanti. Kini, terdetik di hatinya bahawa fasa dewasa ini rupanya menakutkan. Fears of unknown bak kata orang Barat. Selamat datang ke dunia sebenar, Hana.

Seronoknya lahaiii kalau banyak duit, ni aku tak kerja macam mana nak dapat duit? Kena cemuh ada la…

Bagaimana lagi cara untuk mendapatkan duit selain bekerja dan berniaga? Berkahwin dengan orang kaya? Setakat ini dia belum pernah lagi terlanggar bahu mana-mana anak Datuk, Tan Sri mahupun anak raja dan dipaksa kahwin. Oh please Hana, mengharapkan duit orang itu tidak cool.

Tak tahan digasak perasaan negatif yang menekan diri, Hana bangkit dari sofa. Dia perlu buat sesuatu. Dia teringat ada jawatan kosong di sebuah kafe.

***

Dua bulan sudah berlalu. Hana mengambil pesanan daripada seorang pelanggan sebelum menekan butang di kaunter bagi memaklumkan kepada tukang masak di dapur. Hari ini merupakan hari terakhir Hana bekerja di kafe itu. Hana teringat pengalaman temu duganya yang ke-13 di kafe itu bagi meminta jawatan barista. Entah mengapa Hana berasa kerja barista ini cool, mungkin pengaruh komik manga yang dibacanya.

Hana ingatkan pemilik kafe sebangsa dengannya ini nak tanya tahu buat kopi ke, apa beza Kopi O dengan Cappuccino ke sebab Hana kan nak minta kerja barista tapi sangkaannya meleset apabila dia diberi kes dan soalan-soalan yang mencabar minda dan personalitinya apabila bakal majikannya ini mendapat tahu dia seorang graduan sewaktu temu duga. Motif? Hana pun tidak tahu.

Namun soalan-soalan itu boleh dijawabnya dengan baik. Dipendekkan cerita sebab cerpen kan cerita pendek, Hana diterima menjadi sebahagian daripada family Buks Café dan mendapat kerja bukan sebagai barista tapi tukang ambil oder atau pelayan. Barista sudah ada calonnya.

Dia suka bekerja di situ, dapat pengalaman baru dan kawan-kawan baru yang best. Tetapi Hana perlu angkat kaki dari terus bekerja di kafe itu setelah gaji pertama dan kedua yang diterimanya hanyalah RM 350 sebulan yang tidak sepadan dengan waktu dan beban kerja yang dilaburkan dengan majikan yang beralasan itu ini. Perjalanan hidupnya masih jauh namun hidup ini terlalu singkat untuk dipergunakan oleh majikan. Hana  tidak kisah dikatakan self-entitled asalkan jangan jadi bodoh, tidak tahu haknya sebagai pekerja.

***

Setelah tamat waktu kerja dan pulang ke rumah, Hana merebahkan tubuhnya ke katil dan kembali menatap skrin telefonnya. Dia membaca tulisan luahan seorang fresh graduate di media sosial berserta komen-komen bawang yang memedihkan.

“Kerjalah kat shopping mall, cuci tandas, kedai makan apa semua.”

“Saya dulu lagi susah tahu, saya buat kerja itu ini sampailah jadi tauke. Budak zaman sekarang tahu nak senang je.”

“Aku pun ada degree, sekarang kerja promoter dengan gaji RM 1100, okay je hidup aku. Boleh bayar itu ini.”

Dan pelbagai lagi komen yang Hana malas nak cerita. Biarlah, orang lain boleh kata apa saja dan kononnya tahu semua perkara. Kita tidak akan pernah faham masalah seseorang sehinggalah kita sendiri yang mengalaminya.

Kalaulah mereka tahu bahawa kerja retails itu bukan untuk semua orang. Kalaulah mereka tahu harapan mak ayah sekolahkan tinggi-tinggi itu bukan untuk end up jadi pencuci tandas. Kalaulah mereka tahu latar belakang setiap orang tidak sama. Pasti mereka menjadi pendengar yang baik, tidak invalidate pengalaman dan kesusahan orang lain.

Dia tabik hormat pada orang yang memilih untuk bekerja di sektor peruncitan itu dan gembira dengan pekerjaan mereka cuma dia berharap agar tidak expect cara hidup orang lain harus sama seperti gaya hidup mereka kerana setiap orang ada cita-cita dan kemampuan yang berbeza.

Kalau umurnya masih belasan tahun atau lepasan SPM, dia yang naif ini tidak kisah buat kerja-kerja begitu tetapi umurnya kini sudah meningkat, dia harus memikirkan perjalanan kariernya, bukan terus hidup dengan budaya ‘hippie’ seperti muda mudi begitu. Bagaimana agaknya dia boleh mencari ilmu, skil dan pengalaman dalam bidang pekerjaan yang dia minati tetapi tempatnya terhad ini?

Hana sudah penat, dia mengambil keputusan untuk cuba menjauhkan diri dari dunia media sosial yang fake itu dan terus bergerak dalam garis masanya. Tapi jauh di sudut hati Hana, dia sedar bahawa dia harus belajar bersyukur. Ada lagi orang lebih susah daripadanya tapi mampu redha.

 

Artikel Lain Untuk Di Baca