CERPEN: Peluang

Penulis: Kieraeinz

LRT bergerak dalam kelajuan tinggi. Beberapa penumpang membuat hal masing-masing. Aku memerhatikan mereka satu per satu, aku tersenyum sinis. Siapalah aku yang akan mereka hiraukan. Aku hanyalah salah seorang penumpang LRT sahaja, tidak lebih daripada itu. Mereka tidak kenal aku dan aku tidak kenal mereka. Aku genggam erat ‘barang’ yang disembunyikan di dalam jaket. Tiada siapa pun yang akan peduli apa yang bakal aku lakukan.

Keluar saja dari stesen LRT, aku bergerak ke arah perumahan yang berdekatan. Perumahan yang terdiri daripada rumah teres dua tingkat yang kelihatan tidak besar, tidak juga kecil. Hanya orang-orang berada sahaja mampu memiliki rumah di kawasan ini. Walaupun mereka tidak kaya tetapi mereka mempunyai wang yang lebih banyak dari orang-orang biasa.

Sebuah rumah dengan haruman bunga-bungaan dihampiri. Aku menyorok di sebalik pagar kayu bercat coklat pekat. Aku intai kawasan sekeliling; sunyi tanpa kewujudan manusia hatta binatang sekali pun. Keadaan ini cukup sempurna buat misi aku. Angin sepoi-sepoi bahasa menerbangkan haruman yang mampu menenangkan kegusaran.

Dia, seorang wanita dengan paras ayu kelihatan sedang menyiram pokok-pokok bunga. Pasti dia yang menanam bunga-bungaan itu kerana dia adalah penggemar bunga. Wajahnya tidak pernah luntur daripada kecantikan. Kerana cantiklah aku menyintainya. Dan kerana cantik itu jugalah aku ditinggalkan. ‘Barang’ di dalam jaket semakin erat aku pegang. Perasaan cinta berganti dengan benci.

Aku mencari ruang untuk menghampiri perempuan yang pernah aku cintai. Sebilah pisau aku keluarkan dari jaket. Aku akan hapuskan dia, padamkan segala-galanya mengenai kehadirannya di muka bumi ini. Aku akan pastikan dia merana sama seperti aku merana. Debaran di dada kuat berdentum. Menggigil pisau di dalam gengamanku.

“Mama.” seorang budak lelaki berlari bersama tawa memeluk tubuh dia. Kemunculan budak kecil itu ternyata menceriakan dia. Dia menyamakan ketinggiannya dengan budak kecil itu. Mereka berbual-bual sambil budak kecil itu menunjuk-nunjuk ke satu arah.
Lalu muncul seroang lelaki dewasa berkumis nipis membuatkan budak kecil itu terjerit.

Seketika kemudian budak kecil itu dan lelaki berkumis ketawa bersama-sama. Dia, wajah perempuan itu kelihatan gembira, lebih gembira daripada waktu dia bersama aku. Kecantikannya semakin terserlah.

Suami dan anaknya. Perasaan tidak puas hati menghimpit sanubari. Dia bahagia di luar sementara aku pula merana di penjara. Melalui seorang rakan, aku dimaklumkan bahawa dia sudah pun berkahwin dengan seorang pengusaha restoran. Tidak aku sangka dia sanggup melupakan aku dalam tiga tahun ini.

“Mama, ada abang kat sini.”

Lamunan pecah. Tersentak aku apabila budak kecil itu berdiri di hadapan memandang aku dengan senyuman lebar. Derapan kaki menghampiri kedengaran semakin dekat, debaran di dada semakin kencang. Aku terus berlalu dari situ, sedang telingaku menangkap suara dia memanggil-manggil anaknya.

“Azrul, jangan ganggu orang.”

Azrul!

Langkahku semakin laju meninggalkan kawasan rumah itu. Gema suara dia menyebut nama Azrul berdentum-dentum di minda. Kenapa mesti dia menggunakan nama itu untuk anaknya? Bukankah dia sudah melupakan Azrul? Masih ingatkah dia pada aku?

“Azrul, Linda sayang sangat dekat Azrul.”

“Azrul, janji dengan Linda yang Azrul akan hentikan semua benda ini.”

“Azrul, Linda akan tunggu Azrul.”

Tanpa disedari aku sudah jauh meninggalkan kawasan perumahannya. Aku berjalan tanpa haluan membiarkan langkah kaki membawa ke mana sahaja. Fikiranku dipenuhi memori Linda ketika kami masih bersama. Masih bertaut rasa suka dan penuh kemanisan.

Duk! Aku berdiri kaku melihat beberapa barangku berselerakan di atas lantai. Suara meminta maaf kedengaran berulang kali. Mataku terpacak pada pisau yang berada di sebelah sehelai blouse. Sepasang tangan runcing mengambil blouse dan pisau. Aku melihat tuan empunya diri.

Sorry, awak punya. Bahaya main benda tajam. Kalau rasa sedih pun jangan lakukan benda yang bukan-bukan. Ingatlah ada orang masih perlukan dan sayangkan awak. Nah!” ujar dia.

Aku mengambil huluran pisau dan sehelai tisu. Melalui anak matanya aku cuba mencari ketakutan, tiada.

Dia tidak takut pada aku? Aku pasti sesiapa sahaja akan ketakutan melihat perwatakanku tambah lagi melihat sebilah pisau yang jatuh dari badan ini. Gadis itu berlalu bersama senyuman, meninggalkan aku dalam kemamaian. Pertama kali aku berdepan situasi seperti ini.

Aku menyentuh mata apabila terasa titisan air. Aku menangis? Ah, ini kali pertama aku menangis. Menangis kerana Linda. Aku terlalu mencintai Linda. Terlalu menyayangi dia. Ketawa kecil terkeluar dari mulut, aku yang tidak pernah kalah dalam peperangan cinta, akhirnya kalah juga kerana seorang perempuan. Tisu aku gunakan untuk mengesat air mata yang sedang mengalir.

Aku meneruskan langkah sehingga keletihan menyerang. Keletihan memaksa diri untuk duduk di tempat berdekatan. Matahari terik memancar, peluh membasahi pakaian tapi itu tidak memberi makna. Aku tidak ambil peduli akan semua itu.

“Kenapa? Kenapa Azrul buat macam ini? Azrul dah tak sayangkan Linda ke?”

“Hentikannya, tolong hentikannya, Azrul!”

“Demi Linda, berubahlah Azrul.”

“Linda tak boleh terus tengok Azrul macam ini, Linda sayangkan Azrul. Linda tak mahu Azrul terus terjebak.”

Tangisan Linda berputar-putar. Entah banyak mana air mata dia menitis kerana aku. Kerana seorang lelaki yang ego, seorang lelaki yang hanya tahu menggunakan kekerasan. Berkali-kali nasihat dia aku lemparkan begitu sahaja. Setiap kali nasihat diutarakannya setiap kali jugalah tanganku naik ke pipi gebu Linda.

“Assalamualaikum, saudara.” teguran daripada seorang lelaki mengejutkan aku dari lamunan. Lelaki berkopiah putih tenang memandangku dengan senyuman. Berseri-seri wajahnya.

“Zohor dah nak masuk, jom la solat bersama,” ajaknya.

Aku membalas pandangan dia dengan tajam, rimas dengan suara mesranya. Lelaki itu hanya tersenyum dan berlalu meninggalkan aku bersendirian.

Tidakku sangka, aku berhenti rehat di hadapan masjid. Satu-satunya tempat yang tidak pernah aku jejaki semenjak berjauhan dari keluarga. Tiang agama yang aku lupakan setelah hanyut dalam dunia kongsi gelap. Suara azan bergema memasuki gegendang telinga, sudah lama aku tidak mendengar kemerduan laungan azan.

“Lelaki baik hanya untuk perempuan yang baik dan begitulah sebaliknya.”

Suara ustazah ketika bersekolah dahulu menerpa benakku. Betullah ungkapan itu, lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik. Linda seorang perempuan yang baik, tidak layak bersamaku yang hina. Sudah banyak peluang yang hadir untuk aku berubah tetapi aku sia-siakannya.

Linda akhirnya bersama dengan seseorang yang lebih sesuai untuk dia dan aku tidak mungkin akan berjumpa dengan orang sebaik Linda. Tidak, aku akan berjumpa juga dengan orang sebaik Linda atau mungkin lebih baik lagi. Aku hanya perlu berubah, berubah menjadi orang yang lebih baik.

Aku memasuki ruang masjid. Ya, aku mahu berubah. Aku tidak akan sia-siakan peluang yang telah diberikan Linda kepadaku. Walaupun Linda tidak menjadi milikku tetapi dia telah menyedarkan aku. Kerana Linda, buah hatiku, sentiasa berusaha untuk menghentikan kegiatan tidak bermoralku.

Aku mahu buktikan kepada dia, peluang diciptanya aku gunakan dengan sebaiknya. Maklumat yang disampaikan Linda kepada pihak polis mengenai kegiatan dulu adalah satu peluang untuk aku mengenang semula kesalahan demi kesalahan yang telah aku lakukan. Satu-satunya peluang untuk aku memperbaiki diri.

Walaupun kehidupan di penjara tidak dapat mengubah diri, aku akan berubah bermula sekarang. Perubahan yang dimulakan dengan bersujud kepada penciptaku, memohan ampun dan memohon petunjuk daripadaNya. Aku berdiri di sebelah lelaki berkopiah yang menegurku sebentar tadi. Dia tersenyum melihatku.

“Allahhuakbar.”

* Anda mahu tulisan anda disiarkan untuk bacaan umum di portal I AM LEJEN? Emelkan tulisan anda ke [email protected] Karya yang layak akan disiarkan berserta kredit kepada penulis.

Artikel Lain Untuk Di Baca