Penulis: Muhammad Fareed
Seorang lelaki separuh umur ketawa berdekah-dekah apabila melihat tajuk utama sebuah akhbar tempatan. Dekahan itu terlalu kuat sehingga meragut ketenangan pagi. Para pelanggan yang sejak dari tadi duduk dengan harmoni di warung itu, mula berasa tidak senang melihat kelakuan aneh si lelaki separuh umur.
Dalam ramai-ramai pelanggan di situ, salah seorang daripadanya merupakan ahli politik terkenal yang sedang duduk bersama seorang pengawal peribadi. Namanya Dato’ Mustafa. Walaupun dia amat terkenal dalam kalangan masyarakat kota, namun di kawasan kampung seperti itu namanya jarang-jarang didengar. Kerana itulah dia bersarapan di situ — di warung sebuah kampung terpencil agar modus operandinya tidak dapat dikesan sekaligus nama baiknya dapat dijaga.
Setelah menerima arahan, pengawal peribadi Dato’ Mustafa bangun dan mendekati lelaki separuh umur yang masih terbahak-bahak ketawa. Selepas berbisik sesuatu, lelaki separuh umur itu terus berhenti ketawa dan menyerahkan akhbarnya kepada lelaki sasa yang menjadi pengawal peribadi Dato’ Mustafa.
Sebaik saja akhbar itu berada di tangan Dato’ Mustafa, dia terus menyeluruhi muka hadapannya. Dengan perasaan penuh tanda tanya, dia meneliti setiap gambar yang terpapar di situ. Namun, tiada apa-apa yang melucukan. Ya, tiada apa-apa yang melucukan sehinggalah dia terbaca tajuk sebuah artikel bersaiz kecil. Tawanya terburai sehinggakan mengundang pandangan sinis daripada pelanggan-pelanggan lain.
Selang beberapa minit, seorang perempuan berusia lewat 20-an tiba dengan nafas mencungap-cungap. Sambil meminta maaf berulang-ulang kali, dia duduk berhadapan dengan Dato’ Mustafa. Kehadirannya membuatkan tawa ahli politik itu terhenti serta-merta.
“Nah!” Dato’ Mustafa berikan akhbar itu kepada pengawal peribadinya. “Macam biasa, kau pergi cover line kat luar.”
Tercegat di luar warung, pengawal peribadi Dato’ Mustafa memerhati sekeliling dengan penuh teliti. Kata orang, dia merupakan antara pengawal peribadi terbaik di bandar. Bukan saja bertubuh sasa, malah matanya tajam seperti mata helang. Malangnya, dia tidak mempunyai sayap yang boleh membantunya untuk terbang.
Selepas menyalakan rokok, pengawal peribadi Dato’ Mustafa itu membelek akhbar yang sedari tadi dikepit di celah ketiaknya. Akhbar itu diselak dari halaman belakang. Itu memang tabiatnya sejak dari dulu. Dia suka menyelak akhbar dari belakang kerana dia amat meminati bahagian sukan. Malah, dia pernah bercita-cita ingin menjadi pemain bola sepak untuk pasukan Manchester United semasa di sekolah menengah. Tapi itu dulu. Sekarang lihatlah apa sudah jadi.
Sebaik saja tiba di muka hadapan, dia tergamam seketika. Asap rokoknya tersekat di tekak; dia tersedak dan terbatuk sehingga matanya berair. Dan batuk itu kemudiannya, perlahan-lahan bertukar kepada kekehan tawa yang absurd dan menjengkelkan.
Tidak jauh dari situ, seorang perempuan Cina berusia dalam lingkungan 30-an memerhatikan kelakuan aneh si pengawal peribadi. Dia yang sedang menikmati durian di sebuah gerai buah-buahan tepi jalan, berhenti makan dengan mulut yang comot. Dia terpesona. Sehinggakan terlupa tentang dirinya yang sedang mengidam. Mujur saja kandungan di dalam perutnya menendang-nendang, mengingatkan dia tentang dirinya yang sudah mengidam buah durian kira-kira tiga hari lamanya.
Tawa si pengawal peribadi terhenti tatkala dia terpandang buah tembikai di gerai buah-buahan itu. Macam orang mengandung; dah hampir seminggu dia mengidamkan buah tembikai. Tanpa berlengah, dia bergegas ke gerai itu sambil matanya meneliti buah-buah tembikai yang besar-besar belaka. Setibanya di gerai itu, dia meletakkan akhbar di atas meja tempat letak buah dan terus memilih buah tembikai yang diperhatinya sejak dari tadi. Kulit buah itu agak kusam sebenarnya. Tapi dia memilih buah itu kerana saiznya yang besar. Bagi seseorang yang bertubuh sasa sepertinya, kuantiti sentiasa lebih prioriti berbanding kualiti.
“Bagi yang ni,” ujar si pengawal peribadi sambil menepuk-nepuk buah tembikai itu. “Potong terus boleh? Makan kat sini.”
“Mestilah boleh.”
Perempuan Cina yang sedang leka menikmati durian, terhenti sekali lagi apabila terpandang akhbar yang diletakkan di atas meja tempat letak buah. Dia memandang si pengawal peribadi — lelaki itu sedang tertinjau-tinjau melihat si peniaga memotong buah tembikai. Mungkin inilah masanya, fikir si perempuan Cina. Sambil terjingkit-jingkit, dia menjengah akhbar itu dengan mulut yang masih rakus bersenggama dengan biji durian.
“Ini dia.” Peniaga buah-buahan menyerahkan buah tembikai yang telah dipotong. Sebaik saja buah itu bertukar tangan…
“Hahahahaha!”
Peniaga buah-buahan dan pengawal peribadi menoleh serentak. Perempuan Cina ketawa berkekeh-kekeh sehingga mulutnya comot kerana tertenyeh durian. Peniaga buah-buahan dan pengawal peribadi terburai tawa kerana tak tahan melihat wajah perempuan Cina itu. Untuk beberapa ketika, keadaan gerai itu menjadi riuh.
Kerana ketawa tak ingat dunia, perempuan Cina tertolak biji durian masuk ke dalam mulut dan terus turun ke tekak. Tawanya terhenti dan matanya terbuntang. Dia cuba menggapai pengawal peribadi yang masih terkekeh-kekeh ketawa dengan mata tertutup. Namun, usaha itu sia-sia kerana pergerakannya tiba-tiba terbencat. Seluruh tubuhnya terkaku, dan dia rebah perlahan-lahan.
Hanya beberapa ketika selepas itu, pengawal peribadi perasan seolah-olah ada sesuatu yang tak kena. Saat dia menoleh ke perempuan Cina itu, perempuan itu sudah pun terbaring di atas tanah dengan mata terbeliak dan tangan yang kejung — seolah-olah ingin menggapai sesuatu.
Setengah jam selepas itu, gerai itu dikerumuni orang. Ada wartawan, polis, pegawai perubatan dan orang-orang kampung. Selepas membuat pemeriksaan, pegawai perubatan mengesahkan kematian perempuan Cina itu kerana tercekik biji durian. Lalu mayatnya dibawa pergi oleh pihak polis dengan sebuah Land Rover Defender model lama.
Keesokan harinya, seorang lelaki separuh umur ketawa berdekah-dekah apabila melihat tajuk utama sebuah akhbar tempatan. Dekahan itu terlalu kuat sehingga meragut ketenangan pagi. Para pelanggan yang sejak dari tadi duduk dengan harmoni di warung itu, mula berasa tidak senang melihat kelakuan aneh si lelaki separuh umur.
Dalam ramai-ramai pelanggan di situ, salah seorangnya merupakan ahli politik terkenal yang sedang duduk bersama seorang pengawal peribadi. Namanya Dato’ Mustafa.
Disunting oleh: Aisa Benasri
Photo by Cecile Hournau on Unsplash