Penulis: Hain Husna
Baru-baru ini, di Malaysia, isu yang semakin hangat diperkatakan adalah mengenai kehebatan, ketabahan serta kekuatan pelayar-pelayar dan kelasi Melayu zaman dahulu. Semua ni mesti impak daripada filem epik Pulang. Alaa, lakonan hebat Remy Ishak tu. Fuhh, tapi ramai tak tahu kisah aku dan rakan-rakan aku. Kami boleh dikatakan gagah dan hebat jugaklah seperti kelasi Melayu dahulu. Cuma, masyarakat hari ini semakin mengetepikan nilai moral dan contoh daripada kisah kami ni. Benar, Malaysia telah merdeka selama 61 tahun, namun masih terdapat beberapa cabaran dan masalah masa kini yang jika dibiarkan berlarutan boleh menggugat keamanan negara merdeka kita ini.
Maka, dengan lafaz bismillah, ingin aku buka sebuah cerita ringkas mengenai aku dan rakan-rakan aku yang boleh diambil iktibar dan dijadikan pengajaran.
Aku dan rakan-rakan aku ni cuma golongan kecil yang tidak begitu diendahkan masyarakat kini. Walhal, acapkali aku dan rakan-rakan dalam kesusahan tetapi kami sentiasa membantu antara satu sama lain serta terus memberikan contoh kepada yang lain. Kami tidak seperti kebanyakan masyarakat hari ini yang semakin hilang nilai murni dan moral dalam diri. Tiada langsung semangat saling membantu dan bekerjasama. Tambahan pula, hubungan perpaduan antara kaum juga bagai retak menanti belah. Jika dahulunya bagai isi dengan kuku, kini renggang bagai langit dengan bumi. Fuhh, pilu hati aku ni mengenangkan hal ini.
Sesekali, air mata jantan aku menitis melihat betapa masyarakat hari ini semakin hanyut dek arus permodenan yang mengikut trend Barat. Impaknya, hilang unsur hormat sesama insan, hilang nilai murni dan moral yang boleh dicontohi dalam diri! Dahsyat sungguh masyarakat hari ini. Sebagai contohnya ialah kejadian yang aku lihat dengan mata kasar aku sendiri. Nak dijadikan cerita, pagi tadi aku melihat tiga orang penduduk bumi Malaysia bernama Akif, Lee, dan Adif. Kejadian tersebut berlaku di tepi Sungai Lui. Akif datang memancing bersama Adif manakala Lee datang memancing seorang diri. Mereka duduk berasingan, Adif duduk bersama Akif manakala Lee duduk jauh sedikit seorang diri. Adif dan Akif saling bermasam muka dengan Lee. Sedih aku melihat keadaan itu.
Walhal dahulu, walaupun berlainan bangsa namun salam perkenalan dan bertegur sapa pasti dimulakan sesama sendiri apabila memancing di kawasan sama walaupun dengan orang yang tidak dikenali. Bahkan, ada yang sentiasa bermanis muka sesama sendiri. Tapi, itu semua dahulu. Kini, semangat perkauman semakin tinggi. Barangkali mereka lupa mengambil iktibar daripada peristiwa berdarah 13 Mei pada suatu ketika dahulu. Bersusah payah Tun Abdul Razak berusaha menyatupadukan rakyat selepas peristiwa itu sehingga berjaya. Namun, seandainya beliau masih hidup sekarang ini pasti beliau akan sedih melihat perpecahan bangsa yang semakin dahsyat ini berlaku kembali.
Sewaktu Lee mahu pulang, tiba-tiba, kereta Lee didapati rosak. Enjin tidak boleh hidup. Kasihan aku melihat Lee sebegitu. Hampa hatiku melihat Adif dan Akif yang membiarkan Lee dalam keadaan susah dan gelisah itu tanpa menghulurkan bantuan. Bertambah sedih hatiku mengenangkan masyarakat hari ini apabila aku terdengar perbualan antara Akif dan Adif sewaktu melihat Lee yang sedang gelisah dalam kesusahan.
“Haiyaaa, manyak susah woo sekarang mau call sama mekanik. Ini kawasan, line serupa siput. Banyak masalah, kereta guwa tak mau start.” lelaki Cina itu berkata sendirian.
“Adif, tengok uncle Cina tu kereta dia sudah rosak. Nasib dialah siapa suruh tak periksa kereta sebelum gerak.” kata Akif.
Adif membalas, “Hahahaha betul tu, lagipun dia tu Cina, bukan bangsa kita, buat apa nak tolong. Dah, jom balik.”
Secara kebetulan pula, uncle Lingam yang mahu menjala lalu di situ manakala uncle Lim yang mahu menangkap udang di sungai turut sampai.
Uncle Lim yang melihat kereta Uncle Lee yang rosak datang menghulurkan bantuan. Katanya sebab Uncle Lee tu kaum dia je dia mahu tolong. Kalau bukan kaum dia, hmm haram nak tolong.
Uncle Lee berkata, “Haiyaa, manyak terima kasih lu mau tolong sama guwa. Tadi ada dua olang Melayu banyak teruk woo tak mau tolong sama guwa. Haa sudah lah, sekarang guwa mau lu tolak ini kereta dengan bantuan itu olang India. Tolak smpai kereta ni boleh start dan sekurangnya sampai ke jalan utama. Kalau lu sorang saja tolak, takmau jalan woo, guwa mau drive.”
Uncle Lim membalas tenang dengan muka sinis “Itu sebab Melayu sekarang susah mau maju, tidak mau berfikiran terbuka dan tak mau membantu tanpa mengira kaum. Lu sudah lihat itu Melayu sekarang lu mau panggil itu India ka mau tolong? Haiyaa, itu India maa, mana mau dia tolong sama kita. Sama saja sama itu dua olang Melayu, mau tolong cuma bangsa sendiri saja”
“Haiyaa, lu kata orang manyak pandai Lim. Lu pun sama dengn itu Melayu. Sudah macam racist maa. Haiyaa, jangan fikir negetif maa, manatau itu olang India mau tolong”
Namun, setelah Uncle Lee pergi meminta tolong Uncle Linggam. Uncle Linggam enggan membantu malah melarikan diri. Mujur petang itu, tenaga Uncle Lim cukup kuat untuk menolak kereta Myvi milik Uncle Lee dengan gagahnya. Selepas itu, mereka pun hilang dari pandangan mata aku.
Haa begitulah dapat digambarkan betapa dahsyatnya perpecahan kaum masyarakat hari ini. Mereka tidak seperti golongan kecil seperti aku dan rakan-rakanku yang masih mengamalkan amalan hidup bersatu padu. Tidak kira bangsa dan agama kami tetap bertegur sapa, bersalaman, bermanis muka dan sangat brbaik hati membantu satu sama lain.
Pernah sekali kampung kami dilanda banjir, habis rumah tempat kami berlindung hanyut dibawa air, namun rakan-rakan kami dari kampung seberang sungai sangat baik menghulurkan bantuan dan menyediakan tempat tinggal sementara. Setelah air banjir surut dan kawasan kampung kami didirikan smula, kami pula membantu jiran kampung seberang sungai mencari sumber pendapatan dan makanan. Begitulah serba ringkas mengenai sebilangan besar masyarakat hari ini yang semakin jauh dari nilai moral hidup dan tidak bersatu-padu serta kisah hidup aku dan rakan-rakan. Kami merupakan golongan kecil yang terus hidup dalam nilai murni serta moral dan terus menabur budi kepada yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama. Benar kata orang, budi yang baik dibalas baik.
Walaupun golongan aku dan rakan-rakan ku masih terus mngamalkan nilai murni yang teguh demi kemakmuran negara namun kami tetap dihambat rasa sedih melihat masyarakat hari ini yang semakin jauh dari amalan ketamadunan hidup yang bersatu padu. Pasti ada yang tertanya-tanya mengapa bukan aku saja yang pergi menghulur pertolongan kepada Uncle Lee, siapa golongan kecil ini, siapa masyarakat hari ini yang dimaksudkan dan siapa aku yang sedang bercerita ini. Alkisahnya, masyarakat hari ini yang dimaksudkan ialah sang manusia masa kini yang semakin hanyut meninggalkan amalan ketamadunan mereka dahulu yang penuh dengan nilai murni, etika dan moral. Dan sebenarnya aku ialah seekor semut yang berasal dari segolongan kecil semut-semut yang berbudi pekerti lagi baik hati. Oleh kerana itu, aku hanya mampu bercerita kisah Uncle Lee tetapi tidak dapat membantunya sendiri disebabkan aku cuma seekor semut. Sengaja aku rahsiakan hal ini hingga ke akhir kisah, hahahaha!
Moga kalian sedar tanggungjawab sebagai bangsa Malaysia dan mengambil iktibar daripada kisah aku. Sentiasa beringat bahawa, bersatu kita teguh bercerai kita roboh dan teruslah membina perpaduan yang teguh antara pelbagai kaum demi menjamin kelangsungan negara merdeka. Selamat Menyambut Bulan Kemerdekaan dan Selamat Hari Malaysia! #IniMalaysiaKita